
TEMERLOH: Terbukti dalam sejarah, Islam telah berjaya membangunkan umat yang bermula di bumi yang kering-kontang tidak mempunyai hasil, tiba-tiba melimpah-ruah hasilnya sehingga melebihi keperluan rakyat.
Justeru, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, masyarakat yang terkenal dengan perpecahan dan peperangan dapat disatukan dengan aman.
Menurutnya, masyarakat yang paling jahil bertukar menjadi pencipta tamadun Islam yang memberi kebahagiaan kepada seluruh manusia.
Katanya, Islam diterima oleh semua masyarakat dan negeri yang dimasuki sebagai penyelamat, bukan penjajah, sehingga memerintah wilayah paling luas dan masyarakat yang majmuk dalam sejarah manusia.
Beliau menjelaskan, Islam berjaya menyatukan umatnya dengan menghadap ke arah satu kiblat dan mengucup Hajar al-Aswad (batu hitam) di Baitullah (rumah Allah) yang terletak di Makkah yang penuh keberkatan.
“Tiba-tiba, kini ada yang bergantung kepada BlackRock (Batu Hitam) dan menghadap kiblat White House (Rumah Putih) yang sesat, bahkan meminta rezeki daripada Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Dunia (IMF),” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, hari ini.
Beliau berkata, mereka sepatutnya menghayati firman dalm Surah al-A‘raf, ayat 96 yang bermaksud: “Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu. Lalu Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.”
Pada masa sama, ujarnya suhu dalam politik dalam negara boleh diredakan melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan meletakkan kepentingan negara dan rakyat di hadapan, supaya dapat diwujudkan kestabilan politik dan ekonomi yang lebih sejahtera.
Malangnya, ujar beliau apabila Islam dipinggirkan, maka aspek ekonomi dibejatkan dengan penyakit riba, judi dan segala aspek ekonomi yang dilaknat oleh Allah, sehingga menghalalkan perkara yang haram.
Tuan Guru menjelaskan, kalimah berkat tidak ada dalam istilah ideologi dan teori ciptaan manusia.
Katanya, apabila hidayah ditinggalkan, maka kekayaan hasil bumi kurniaan Allah tidak memberikan manfaat kepada umat dan rakyat.
Sebaliknya, jelas beliau kekayaan itu dimusnahkan dengan pembaziran atau diangkut oleh penjajah dan bekas penjajah atau berpusing dalam kalangan kumpulan yang tertentu dengan budaya penipuan dan rasuah, atau dibocorkan dengan cara yang tidak berfaedah kepada negara dan rakyat.
Katanya, kepesatan aktiviti ekonomi rakyat menambahkan hasil dan peluang pekerjaan.
“Maka, kerajaan Islam pada zaman keemasannya tidak bergantung kepada kenaikan cukai semata-mata sehingga membebankan rakyat dan menyebabkan berlaku inflasi, tetapi memanfaatkan sumber zakat dan wakaf secara saksama,” ujarnya lagi.
Beliau juga berkata, ajaran Islam yang berteraskan aqidah mewujudkan tadbir urus yang bersih, kerana ia bukan sahaja dikawal oleh undang-undang syariat yang hebat mendidik, tetapi juga dikawal oleh keimanan dalam hati manusia dengan adanya perhitungan dosa dan pahala selepas meninggal dunia.
Ini, ujarnya menjadikan hasil negara diurus dengan baik, sehingga tidak ada kebocoran dan keborosan.
Tambah Tuan Guru lagi, undang-undang Islam mampu mencegah kemungkaran sehingga berjaya mengatasi masalah jenayah dan maksiat.
Namun, katanya undang-undang antarabangsa kini yang menjamin hak asasi manusia, menentang kezaliman dan segala jenis perbuatan melampau ditinggalkan, laksana sarang labah-labah yang memerangkap makhluk perosak yang kecil dan lemah sahaja.
“Oleh itu, mereka yang berperang sehingga membunuh kanak-kanak dengan senjata yang dibekalkan tidak layak bercakap tentang hak asasi manusia dan demokrasi,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











