Kemaraan PAS: perkasa jentera parti pertahan kemenangan

- Advertisement -

TEMERLOH: Bagi meningkatkan kemaraan PAS menjadi parti terbesar memimpin negara, maka seluruh sayap dan jentera PAS perlu diperkasakan bagi mempertahankan kemenangan yang dicapai dan menambahkan lagi kejayaan dalam menggerakkan rakyat untuk membuat perubahan kepada Islam sebagai penyelesaian.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jentera itu khususnya Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Sidang As-Sabiqun.

Beliau menjelaskan, Pemuda dan Muslimat hendaklah menyemarakkan aktiviti yang menyentuh cita rasa anak muda dan wanita, merentasi rentas politik dan kaum dengan pelbagai medan perhubungan, bagi mendekatkan kelompok terpenting ini kepada perjuangan Islam, seterusnya mendapat sokongan dalam pilihan raya.

- Advertisement -

Pada masa sama, ujarnya Pemuda dan Muslimat hendaklah melahirkan lebih ramai ‘hero rakyat’ dan idola kepada anak muda, bagi memperjuangkan isu-isu rakyat dan menjadi pempengaruh kepada anak muda dan wanita muda yang semakin dinamik.

“Di sinilah perlumbaan sebenar bagi menghadapi PRU16,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, hari ini.

Oleh itu, ujar beliau pelapis kepimpinan pemuda dan muslimat muda hendaklah dijadikan agenda utama parti dan diberikan ruang kepada mereka sebagai persiapan untuk memimpin parti dan negara pada masa akan datang.

Tambahnya, Dewan Ulamak pula mestilah berperanan untuk menyatukan ahli agama daripada pelbagai aliran pengajian dan fahaman.

Katanya, perlu disedari perbezaan yang wujud dalam mazhab-mazhab adalah senjata utama musuh Islam untuk memecahkan kesatuan umat sehingga diapi-apikan dan akhirnya kekuasaan politik Islam dalam negara semakin terhakis dan dibiarkan.

“Maka Dewan Ulamak hendaklah melakukan muzakarah ilmiah secara dalaman dengan mengumpulkan para ulama’ dan ilmuwan bagi membahaskan sesuatu perkara dengan ilmu dan adab Islam.

“Kedua-dua kumpulan ini ialah ulu al-amr yang menjadi sasaran paling utama musuh Islam,” katanya lagi.

Beliau berkata, tanggungjawab yang lebih besar dibahu Dewan Ulamak adalah menyedarkan masyarakat terhadap Islam dan bahaya serangan pemikiran yang merosakkan jati diri seorang Muslim, termasuk kejahilan politik Islam dalam kalangan ulama sendiri.

Menurutnya lagi, peranan DHPP amat penting untuk meredah masuk ke dalam masyarakat bukan Islam yang menjadi sebahagian daripada masyarakat majmuk, secara lebih tersusun dan berimpak tinggi, antaranya melalui penglibatan dalam kerajaan negeri dan penonjolan tokoh dalam kalangan DHPP.

“Sekiranya agenda DAP yang salah ideologinya dan ciptaan makhluk asing boleh diterima oleh pelbagai kaum dengan propagandanya, mengapa Islam yang adil kepada semua tidak boleh disampaikan kepada semua?

“Maka, tugas kita untuk mengulangi sejarah bahawa Islam diterima menjadi penyelamat semua manusia, bukannya penjajah,” ujarnya.

Di samping itu, ujar beliau peranan pentadbiran di peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan ialah menjadi jentera parti yang cergas menguatkan parti, mempertahankan kemenangan yang telah dicapai dan menambah lagi wilayah kemenangan.

“Jangan hanya menjadi bebanan kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat sahaja,” tambahnya.

Beliau mengingatkan, PAS kawasan dan cawangan mesti terus berperanan dan bekerjasama dengan ahli Parlimen atau ADUN bagi memperkukuhkan pengaruh PAS di kawasan tersebut dan hendaklah terlibat dalam perancangan program kebajikan.

Katanya, wujudkan kerjasama yang baik antara Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan Pejabat PAS kawasan.

Pada masa sama, tambahnya kesiapsiagaan jentera pilihan raya dan penerangan parti di semua peringkat hendaklah di tahap maksima bagi menghadapi beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) dan PRU16 yang pastinya menuntut ketahanan dan pengorbanan yang tinggi, ke arah mencapai objektif dan strategi yang digariskan oleh parti.

“Semua lajnah perlu bersifat inklusif dan berkebajikan, seterusnya lebih aktif dalam penglibatan dengan segenap lapisan masyarakat, merentasi kaum dan fahaman politik, yang sangat besar pengaruhnya dalam sistem demokrasi dengan mencari pengaruh dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat,” katanya.

Menurut beliau lagi, pencerobohan paling melampau oleh negara haram Zionis Israel terhadap Palestin, khususnya di Gaza, telah membelahbahagikan negara dunia kepada musuh, munafiq dan kawan.

“Ini adalah penentu sikap PAS dalam isu antarabangsa,” ujarnya.

Pada masa sama, kata beliau misi kemanusiaan dan bantuan kebajikan merentasi sempadan akan terus digerakkan melalui peranan PAS Relief, rakan-rakan NGO dan dermawan budiman. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -