Tanah rakyat diambil, nasib jadi seperti Palestin

- Advertisement -

TEMERLOH: Konflik yang melanda rakyat Palestin dilihat seolah-oleh tiada kesudahannya, malah saban hari berhadapan dengan letupan bom, runtuhan bangunan, kemusnahan tempat tinggal, kekurangan makanan dan kematian.

- Advertisement -

Perwakilan Muslimat PAS Pulau Pinang, Mazlina Jamaludin meluah demikian ketika menyampai perbahasan menyokong Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia sempena Muktamar Tahunan Kali Ke-64, di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Katanya, Oktober ini genapnya setahun kekejaman rejim Zionis membedil Gaza dengan angka korban warga Palestin sudah melebihi 40,000 nyawa.

“Perjuangan rakyat Palestin bukan bermula setahun yang lalu malah lebih lama daripada itu dan juga bukan sekadar mempertahankan tanah air yang sedang dijajah.

“Namun lebih utama perjuangan mempertahankan Iman dan akidah serta mempertahankan Masjid al-Aqsa,” kata beliau.

Dalam pada itu tegas Mazlina, perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia juga tidak kurang hebatnya termasuk berdepan dengan pelbagai isu menyentuh sensitiviti umat Islam yang sengaja dibangkitkan.

“Isu pengambilan tanah, agenda penyingkiran bangsa secara halus persis yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Justeru, roh perjuangan mujahidah Palestin perlu meresapi ke jiwa, diri dan perjuangan kita,” tambahnya lagi.

Oleh itu, katanya, setiap daripada serikandi muslimah PAS, perlulah melengkapi diri dengan kekuatan dalaman serta memperteguhkan asas perjuangan sepertimana dikehendaki Allah SWT.

Dalam pada itu ujar beliau, perjuangan mengangkat agama Allah ke tempat yang tertinggi merupakan perjuangan yang akan diberikan kemenangan suatu hari nanti.

“Sebagaimana saudara-saudara kita di Palestin yang memburu janji Allah iaitu kemenangan dengan hidup mulia atau mati syahid di jalan-Nya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -