Muslimat PAS perlu sedia galas jawatan penting

- Advertisement -

TEMERLOH: Muslimat PAS perlulah bersedia untuk mengisi jawatan penting dalam pentadbiran sama ada lantikan politik seperti Ahli Majlis, Majlis Ketua Kampung (MKK), Penghulu, syarikat milik kerajaan (GLC) atau apa sahaja posisi dalam kerajaan untuk dijadikan asas menimba ilmu.

- Advertisement -

Perwakilan Muslimat PAS Negeri Kedah, Syarifah ‘Aliaa Syazwani Syed Roslan berkata demikian pada ucapan perbahasan menyokong Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) sempena Muktamar Tahunannya Kali Ke 64, hari ini.

Hal itu ujarnya, selaras dengan intipati yang terkandung di dalam ucaptama tersebut untuk membangunkan Muslimat berkepimpinan, berkemahiran dan bersedia menggalas taklifan.

“Jangan takut untuk memegang jawatan kerana hakikatnya suara kita suara masa depan. Malah, sasaran 30 peratus calon wanita perlu direalisasikan memandangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu hanya 12 peratus sahaja yang diwakili oleh calon wanita.

“Besar peranan kita untuk memastikan Muslimat PAS terlibat secara proaktif di semua peringkat supaya suara wanita terus didengari,” katanya di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Dalam pada itu tegas ‘Aliaa, PAS juga kini telah melangkah ke hadapan memacu kejayaan dan mampu mentadbir empat negeri dengan penuh bergaya.

Selama 70 tahun lalu ujarnya, PAS hanyalah dianggotai oleh golongan ulama, namun kini ulama yang digelar Pak Lebai itu mampu mentadbir negeri serta mengorak kejayaan serta membina pelbagai kemajuan.

“Di sinilah peranan Muslimat sebagai duta untuk mempromosikan apa sahaja kerja buat yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri mahupun PAS itu sendiri. Rakyat di bawah perlu tahu apa yang kita buat.

“Selain itu penguasaan politik adalah amanah besar yang perlu dipikul oleh orang yang terbaik untuk mentadbir urus negara,” ujarnya memetik satu laporan mengenai penglibatan wanita dalam politik.

Laporan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023) itu jelasnya, mendedahkan penglibatan wanita dalam politik masih rendah, menjadikan Malaysia berada di tangga tercorot dalam kalangan negara ASEAN.

Katanya lagi, sepertimana diucapkan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sehingga kini PAS berjaya menguasai hampir keseluruhan golongan agamawan.

Malah Sanusi pernah menyebut, PAS juga meraih sokongan lebih daripadanya 70 peratus dari kalangan anak-anak muda untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Namun PAS masih belum berjaya menguasai jiwa mereka, ilmu politik mereka masih kosong, pengetahuan mereka juga masih kurang. Tugas kita untuk memberikan pendidikan poltik kepada mereka agar mereka tahu kenapa perlu memilih pemimpin yang faham agama,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -