Cipta masa depan dengan perkasa institusi keluarga

- Advertisement -

TEMERLOH: Institusi keluarga perlu diperkasa sebagai benteng utama dalam menghadapi pelbagai ancaman moral dan sosial dalam masyarakat, tegas Perwakilan Muslimat PAS Perlis, Muzalifah Zulkepli.

- Advertisement -

Beliau membahas Ucaptama Ketua Muslimat PAS pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-64 yang diadakan di Kompleks Al Makmur, Kerdau di sini hari ini.

Muzalifah menekankan pentingnya peranan keluarga dalam membina masyarakat yang kukuh dan berakhlak kerana ia asas pembentukan generasi yang berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran-cabaran semasa.

“Pendidikan agama yang kuat, komunikasi berkesan antara ahli keluarga, serta sokongan emosi dan mental yang kukuh merupakan elemen penting yang perlu diberi perhatian dalam memperkukuh institusi keluarga,” katanya.

Muzalifah turut menyeru agar setiap keluarga terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, yang mana penglibatan ini dapat menyemai nilai kebersamaan dan rasa tanggungjawab sosial dalam setiap ahli keluarga.

“Keluarga yang kukuh akan mampu memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan seimbang, selari dengan matlamat PAS untuk membentuk komuniti yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam.

“Seruan untuk memperkasa institusi keluarga ini dilihat penting dalam usaha PAS untuk memperkuatkan peranan keluarga sebagai benteng utama dalam melahirkan generasi yang lebih baik serta berakhlak tinggi di masa hadapan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -