Pendidikan Islam ubat kebejatan masalah sosial

- Advertisement -

TEMERLOH: Pendidikan Islam perlu dikembali serta digemilangkan semula sebagai solusi menangani kebejatan masalah sosial melanda negara dewasa ini, kata perwakilan Muslimat PAS Melaka, Siti Khadijah Mahmud.

- Advertisement -

Menurutnya, wanita sering menjadi mangsa sama ada penderaan, gangguan, penculikan bahkan pembunuhan, seolah-olah penciptaan wanita ini menjadi tiket untuk diperlakukan sesuka hati oleh golongan tidak berperikemanusiaan.

“Sedangkan wanita merupakan golongan yang dipandang tinggi dan mulia di dalam Islam. Wanita perlu diletakkan pada tempat yang selayaknya.

“(Ini) kerana peranan muslimat di medan amal Islami sangat diperlukan apatah lagi menghadapi cabaran dunia yang penuh tipu daya,” katanya dalam perbahasan Ucaptama Ketua Muslimat PAS pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Ke-64 di Dewan Al-Makmur, Kerdau.

Ujarnya lagi, pendidikan Islam mampu membentuk karakter penganutnya, beriman, cerdas, kreatif dan memiliki keluhuran budi pekerti.

Justeru, bagi memastikan misi tersebut tercapai, pendidikan Islam harus diaplikasi dalam setiap aspek kehidupan.

“Akademik Pengajian Saidatina Aisyah atau dikenali sebagai APSA yang ditubuhkan oleh Dewan Muslimat PAS Malaysia sebagai usaha meningkatkan ilmu dan softskill khususnya dari kalangan ahli muslimat.

“APSA menawarkan pelbagai latihan, kursus, perundingan dan bimbingan dalam aspek keilmuan dan kepakaran dari semasa ke semasa secara profesional dan efisien,” tambahnya di hadapan 676 perwakilan di sini hari ini.

Perkara itu juga katanya, sebagai salah satu usaha untuk mengembalikan masyarakat ke jalan yang diredai Allah dan tanggungjawab, selain memastikan syariat Islam tertegak di bumi Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -