
TEMERLOH: Muslimat Muda dan tenaga pendidik PAS harus diberikan peranan lebih besar dalam usaha memperkukuhkan gerak kerja tarbiyah, dakwah dan siyasah parti.
Perwakilan Muslimat PAS Negeri Sembilan, Hapipah Nordin menekankan perkara ini dalam perbahasannya Ucaptama Ketua Muslimat PAS pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-64 di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Hapipah menggesa tenaga dinamis dan idea segar daripada Muslimat Muda termasuk dalam kalangan pendidik di bawah entiti PAS diperkasakan ke arah memantapkan lagi organisasi parti.
Beliau merujuk kakitangan di TASTI, PASTI, SRITI, SMITI, serta institusi pengajian pondok dan pengajian tinggi yang wujud di dalam PAS di seluruh negara.
“Muslimat perlu menjadi suara utama dalam menyebarkan polisi dan inisiatif kerajaan SG4 (Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Kedah) yang kini ditadbir oleh PAS.
“Komunikasi berkesan melalui media sosial serta platform fizikal amat penting untuk mempromosikan pencapaian dan kejayaan kerajaan PAS di negeri-negeri ini,” katanya.
Antara pencapaian yang wajar diketengahkan ujarnya, adalah kejayaan negeri Kedah di mana telah menarik pelaburan berbilion ringgit.
“Kejayaan ini menunjukkan potensi besar kerajaan PAS dalam memacu pembangunan ekonomi dan harus disebarluaskan kepada masyarakat,” ujarnya lagi.
Hapipah juga menegaskan bahawa usaha ini bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan PAS sebagai parti politik, tetapi juga menonjolkan keupayaan Muslimat Muda dalam menyumbang kepada kemajuan negara dan parti. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











