
TEMERLOH: Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-70 semakin ramai dikunjungi penyokong dan pendukung parti itu tanpa mengira kaum dan agama di mana berlangsung di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini.
Pengarah Muktamar PAS, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, bukan hanya Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) sahaja yang hadir, sebaliknya kaum-kaum lain bukan ahli DHPP juga turut hadir.
Katanya, DHPP yang mempunyai pelbagai bangsa seperti India, Cina, Siam, Sikh dan lain-lain memang sewajarnya menyertai Muktamar PAS, tetapi kaum lain yang tidak menjadi ahli DHPP juga turut hadir.
“Alhamdulillah kita bersyukur di atas sambutan dan sokongan semua pihak terhadap parti kita ini yang kini semakin meriah dengan pelbagai bangsa.
“Termasuk kaum India yang telah membuat persembahan di majlis kita tadi, mereka bukan ahli DHPP tapi sudi hadir membuat persembahan,” katanya ketika berucap pada majlis Sembang Santai @ Muktamar PAS Pusat Ke-70.
Kaum India berkenaan membuat persembahan seni mempertahankan diri tradisi iaitu silambam bagi memeriahkan pentas Sembang Santai.
Turut diundang dua orang TikToker, iaitu Suffi Kamari dan Aiman Nasir.
Menurut Rosli, pihaknya telah berusaha sebaik mungkin demi menyahut seruan pimpinan untuk menjadikan Pahang sebagai tuan rumah muktamar tahun ini.
“Kita bersetuju menerima seruan pimpinan walaupun dalam keadaan dewan kita, kompleks kita tidak siap sepenuhnya.
“Saya juga nak ucapkan terima kasih pada petugas yang membuat persediaan yang cukup bersungguh-sungguh, yang dibuat secara taawun,” katanya.
Menurutnya, seramai 100 petugas dari dua kawasan datang bertugas setiap hari Sabtu dan Ahad selama dua bulan untuk menyiapkan dewan ini sebelum muktamar. – HARAKAHDAILY 13/9/2024












