
TEMERLOH: “Bukti kesungguhan intima’ (kepada jemaah) adalah keikhlasan dan pengorbanan yang berwala’ kepada perjuangan,” demikian kata Perwakilan Muslimat PAS Perak, Dr Nuri Saieda Ali.
Beliau mengemukakan empat elemen intima’ jamaie dalam perbahasan Ucaptama Ketua Muslimat PAS di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Ke-64 di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Pertama jelasnya, elemen berasaskan akidah iaitu meyakini kebenaran risalah perjuangan atas tuntutan akidah Islam; meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan para nabi yang terdahulu.
“Elemen ini memastikan kita dan semua ahli mampu berdepan dengan cabaran semasa, akidah perjuangan ini akan mendukung dan membentuk kepemimpinan dewan muslimat di setiap peringkat makin berwibawa.
“Akidah perjuangan ini juga akan melahirkan pengikut yang memiliki kesetiaan kepada gerak kerja dan hala tuju jemaah. Semua akan bersatu tenaga demi memartabat ketinggian agama Allah,” katanya.
Beliau turut berkata, elemen kedua melibatkan keikhlasan iaitu intima’ kepada jemaah mestilah dengan suci dan ikhlas yakni memerlukan kefahaman yang sebenar.
Manakala elemen ketiga melibatkan pengorbanan yang berteraskan kepada keyakinan di mana komitmen akan tercermin melalui amal soleh dan pengorbanan yang dibuktikan.
“Seterusnya elemen keempat adalah istiqamah. Tugas besar kita semua adalah memastikan Intima’ ini kekal abadi yang tidak terhad kepada tempoh tertentu.
“Yang tidak ada di sebaliknya sebarang agenda dan kepentingan melainkan memperjuang ketinggian agama Allah,” ujar beliau.
Dr Nuri berkata, secara teknikalnya apabila agenda tarbiyah kepada ahli dan pemimpin berlangsung dengan tersusun dan berkesan, agenda dakwah menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat awam akan menjadi lancar dan mengenai sasaran.
“Kefahaman yang mendalam terhadap intima’ jamaie ini akan menjadikan kita semua abna’ al-harakah yang memiliki sifat sebenar seorang da’ie.
“Tahan lasak menghadapi ujian dan mehnah dakwah, tidak mudah putus asa dan lemah semangat serta tidak mudah merajuk dan ambil hati.
“Jom, dengan intima ini kita bina peribadi yang komited, berdedikasi, berdisiplin, proaktif dan sentiasa ikhlas berkorban,” serunya. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











