
JERANTUT: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) hanya menerima tiga usul, kata setiausahanya Ustaz Nushi Mahfodz.
Beliau berkata, setelah dibincang di peringkat DUPP, pihaknya telah menerima dua usul untuk dibahas, manakala satu lagi usul diterima tanpa bahas.
“Usul pertama merupakan usul pemerkasaan syariah iaitu perkukuh kedudukan perundangan Islam dan mahkamah syariah khususnya Kerajaan Empat Negeri (SG4).
“Kedua usul antarabangsa iaitu usul memperhebat agenda pembebasan Palestin dan bersiap bagi pembangunan semula Gaza.
“Akhir sekali, usul diterima tanpa bahas iaitu usul berkaitan persijilan dan pengesahan halal,” katanya semasa sesi pembentangan usul pada Muktamar Tahunan DUPP ke-63 di Kompleks Imam Syafi’ei (KIAS), Kampung Temin, di sini, hari ini.
Sementara itu, usul pertama dibentangkan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Ahmad Razali Abdul, manakala usul kedua dibentangkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











