
TEMERLOH: PAS berjaya mencapai serta mempertahankan kemenangan di empat buah negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, bersama rakan politik dalam Perikatan Nasional (PN) berkat agenda kesatuan ummah.
Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, empat negeri berkenaan iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis, bukan saja berjaya meningkatkan jumlah majoriti pengundi, malah satu kejayaan yang memberansangkan.
“Nikmat kemenangan kurniaan Allah ini bukan sahaja mesti disyukuri, malah perlu lebih bekerja keras menambah baik pelaksanaan dan penghayatan syariat Islam agar semakin luas rahmat Allah menaungi kehidupan kita,” katanya.
Sungguhpun begitu ujarnya, perlu diingatkan, musuh sentiasa berusaha untuk meranapkan kemenangan yang dicapai PN dan akan memanfaatkan kedudukan di peringkat nasional dengan memberi pelbagai tekanan.
Malah katanya, terdapat usaha untuk menyahkan sedikit demi sedikit kepentingan Bumiputera dan umat Islam di Tanah Melayu ini tanpa
segan silu dan merasa bersalah.
“Pelbagai isu perlu ditangani terutama berkaitan pemilikan orang Melayu dan membangunkannya. Kita juga melihat, kini Tanah Rizab Melayu semakin berkurangan akibat pemilikan rakus golongan minoriti dan warga asing.
“Yang akhirnya sedikit demi sedikit orang Melayu menjadi penumpang di tanah sendiri,” tegasnya ketika menyampaikan Ucaptama sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-64 di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Berikutan itu, kata beliau, Muslimat PAS Malaysia turut merasa kesal di atas sikap tidak demokratik Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di mana masih mengekalkan langkah Kerajaan BN yang pernah memerintah selama 60 tahun.
Antara dinyatakannya adalah tindakan menyekat royalti minyak yang menjadi hak rakyat Kelantan dan Terengganu, termasuk sikap DAP yang begitu berani membawa kes penarikan lesen premis judi di Kedah.
Rakyat katanya, masih tidak lupa bagaimana Badan Perundangan Negeri Kelantan dicabar berkaitan kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan begitu juga penarikan semula larangan terhadap komik DAP yang terang-terangan membawa agenda Islamofobia.
“Kes ini sebagai dilihat sebagai satu rantaian gerakan liberal sekular yang disokong oleh golongan kuffar atas nama perjuangan gerakan feminisme dan hak asasi yang cuba mengganggu-gugat kedudukan
Islam di negara ini.
“Malah mencabar sensitiviti umat Islam dengan mengambil peluang secara terang-terangan pada era pemerintahan PH,” kesal beliau.- HARAKAHDAILY 13/9/2024











