
KALAU kita perbetulkan niat, hari-hari kita mengutip pahala. Orang perempuan menjaga rumahnya, menjaga anak-anak, melayani kerenah anak dan mengurus rumahtangga, banyak pahalanya ditambah lagi dengan dia memasak, membasuh pakaian dan lain-lain.
Dengan kepenatan melayan bermacam-macam kerenah anak-anak. Ada yang menjadi Ultraman dan Power Rangers. Tetapi, kalau dia buat secara sukarela, dia boleh pahala. Apabila masuk waktu, dia solat, walau tidak sempat nak wirid panjang sebab tidak boleh membiarkan anak-anak terlalu lama.
Dia sedang mengutip pahala, cuma janganlah membebel. Terimalah dengan sabar. Nak membebel sikit-sikit tidak mengapa, cuma janganlah setiap hari sehingga suami berasa serabut. Itulah sebabnya suami asyik duduk di kedai kopi. Sebab asal balik sahaja kena ceramah. Bermacam-macam tajuk ceramah. Kesian juga kepada suami.
Orang lelaki yang keluar rumah mencari nafkah dengan tujuan untuk memelihara anak dan isteri, boleh pahala tetapi niat perlu betul. Allah membuka peluang yang luas untuk mengumpul pahala.
Disebabkan kita tidak memahaminya, ia menjadi sempit. Kita hanya nampak duduk di atas sejadah, duduk di dalam masjid, membaca al-Quran. Yang sebenarnya bukan ini sahaja tempat kita mencari pahala sehingga tidak ambil kisah terhadap perkara-perkara lain.
Sebagai contoh, orang yang keluar berdakwah selama berpuluh-puluh hari, tiada masalah. Cuma perlu memastikan keperluan anak dan isteri mencukupi. Kita sudah menyediakan belanja untuk mereka.
Yang menjadi masalah hari ini ialah meninggalkan anak dan isteri tanpa meninggalkan belanja. Yang lebih teruk ialah minta isteri pula ‘transfer’ duit ke dalam akaunnya. Sedangkan itu adalah tugas orang lelaki. Nak keluar lama tiada masalah, tetapi tanggungjawab itu penting.
Inilah yang dipanggil sebagai keutamaan. Kadang-kadang, kita tidak cermat dalam hal ini. Orang akan memandang agama ini tidak ‘comel’. Padahal kita sebenarnya salah dalam mengamalkan agama. Bukan agama yang tidak betul, tetapi kitalah yang tidak betul. Perbuatan kita tidak mencerminkan agama.
Contoh yang terbaik ialah Nabi Muhammad SAW. Akhlaknya ada belaka di dalam rumah, di tempat peperangan, di dalam masjid, di kedai, di tempat orang sakit dan di tempat orang meninggal dunia.
Doanya ada bermacam-macam. Ada doa masuk kedai, duduk di rumah bersama-sama dengan isteri, tengok pokok kayu berbunga, tengok anak bulan, ziarah orang sakit, naik atas kenderaan, tengok kehadiran ribut, masuk kampung.
Nak kata, Nabi terlibat dalam semua hal. Bukan hanya duduk di atas sejadah, berzikir dan membaca al-Quran sahaja. – HARAKAHDAILY 13/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















