
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyeru para peserta RXZ Members 6.0 supaya mengambil nasihat daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Para peserta RXZ Members, ambillah nasihat YAB Menteri Besar Terengganu. Jaga solat. Dari solatlah lahirnya budi pekerti dan akhlak mulia.
“Hormati pengguna jalan raya yang lain. Selamat berhimpun buat semua,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini sempena RXZ Members 6.0 yang bermula hari ini di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.
Sehubungan itu, beliau juga mengucapkan selamat datang kepada semua pengunjung RXZ Members 6.0 dan berharap semoga semuanya selamat perjalanan pergi dan balik dengan lebih berhati-hati di jalan raya.
Katanya, kali ini vibenya berlainan di mana sambutan meriah kebanyakan komuniti khususnya pihak masjid untuk menyantuni peserta.
Beliau yakin, mesej masjid bukan sahaja menyantuni tetapi mengajak anak muda dekat dengan masjid dan kembali nanti ke kampung halaman juga akrab dengan masjid.
“Mesej itu juga untuk anak muda kampung, kalau para musafir RXZ pun singgah masjid, anak mukim lebih wajar datang makmurkan masjid,” ujarnya.
ADUN Tepuh itu juga berkata ramai orang mengatakan himpunan itu adalah anjuran kerajaan negeri.
“Sebenarnya bukan. Dari awal lagi bukan penganjuran kerajaan negeri. Ia anjuran sekumpulan anak muda kental yang gigih dan pintar. Mereka tidak ramai tapi sekepala,” tambahnya.
Menurutnya, bukan sedikit cabaran untuk menjayakan program sebesar itu tetapi mereka tetap berusaha.
Katanya, sewaktu berlaku kes ‘pukat’ tahun lepas, mereka tetap berusaha dengan pihak berkuasa walaupun selepas acara.
Tambahnya, pemilihan tarikh dibuat mereka semenjak sekian lama dan terus menghebahkan melalui laman rasmi mereka.
“Pihak kerajaan negeri hanya membantu apa yang sepatutnya dan menyokong apa yang baik daripada penganjuran ini,” katanya lagi.
Hishamuddin yang memaklumkan gambar yang dipaparkan menerusi laman sosialnya itu adalah RXZ Members siri yang terdahulu. (Foto atas)
Lazimnya, jelas beliau sehari sebelum pada setiap kali RXZ Members beliau akan mengunjungi tapak program.
Bagaimanapun, ujarnya kali ini tidak sempat, justeru diambil gambar simpanan siri lepas sebagai syarat.
Beliau berharap semoga semua acara berjalan lancar dan tiada masalah.
“Terima kasih semua yang hadir. Terima kasih kepada semua yang membantu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











