
TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menubuhkan Majlis Penasihat Perpaduan Anak Muda Malaysia bagi menyantuni dan memenangi hati golongan bukan Melayu.
Ketua DPPM, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, majlis berkenaan dengan keanggotaan seramai 30 orang bukan Islam akan bersidang dan bertemu mata dengan pimpinan parti setiap kali adanya isu-isu semasa yang berlaku dalam negara.
“Kita akan duduk, beritahu penjelasan kita. Mereka pula akan beri pandangan mereka, dan kita akan berdialog sehingga kedua-dua pihak berpuas hati.
“Setakat ini, kita sudah buat beberapa kali siri, antaranya Forum ‘Terus Terang Tentang PAS’. Mereka datang, cakap tentang apa yang mereka nak cakap tentang PAS, kita dengar,” katanya dalam sidang media selepas sesi penggulungan Muktamar Tahunan DPPM Kali Ke-65, di Kompleks Al Makmur, Kerdau, dekat sini, hari ini. (Foto atas)
Turut hadir ialah Timbalan Ketua DPPM, Ustaz Mohd Hafez Sabri; Naib Ketua DPPM, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin; Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih Al Syubrawi dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar.
Tambah Afnan, majlis berkenaan turut dihadiri golongan profesional pelbagai bidang seperti peguam dan jurutera yang mewakili golongan minoriti di negara ini.
“Mereka ini bukan penyokong PAS, mereka ini datang atas kapasiti kumpulan mereka, dan mereka mesra dengan kita, serta memberi pandangan yang membina kepada kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2024











