GISBH: Siasat dengan terperinci dan adil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS meminta siasatan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang didakwa terlibat dengan jenayah menjijikkan dijalankan dengan terperinci.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, siasatan itu perlu dijalankan oleh pihak berkuasa secara terperinci dan adil.

“Kita mohon siasatan dijalankan dengan terperinci dan adil. Jika benar mereka terlibat dengan jenayah menjijikkan itu, dakwa dengan segera di mahkamah,” ujarnya dalam media sosial miliknya hari ini apabila ramai yang meminta mengulas perkara itu.

Katanya lagi, jenayah jijik seperti itu tidak boleh dinormalisasikan dan jangan membiarkan masyarakat menganggapnya sebagai perkara biasa sehingga membiarkan pelakunya lepas bebas.

“Apatah lagi lebih bahaya jika dilantik sebagai pemimpin masyarakat, itu jauh lebih bahaya.

“Serahkan kepada polis untuk siasat dengan terperinci, jika ada bukti kukuh, bawa ke pengadilan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

GISBH dilaporkan media tempatan berada di bawah pengawasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak berkuasa lain susulan dakwaan kaitan dengan kumpulan Al-Arqam yang diharamkan serta tuduhan eksploitasi kanak-kanak.

Media tempatan turut melaporkan bahawa beberapa premis GISBH diserbu oleh pihak polis dan JAIS, di mana siasatan berhubung kegiatan ajaran sesat dan kes eksploitasi kanak-kanak sedang dijalankan.

Walaupun begitu, GISBH dilaporkan menafikan sebarang dakwaan tersebut, menegaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam aktiviti melanggar undang-undang, khususnya yang melibatkan eksploitasi kanak-kanak.

Mereka juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membuktikan bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -