Segala kisah dalam al-Quran akan terus berulang

- Advertisement -

TEMERLOH: “Al-Quran merupakan kitab rujukan sepanjang zaman kepada kita semua,” kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, segala kisah yang ada dalam al-Quran akan terus berulang termasuklah pada zaman ini.

“Ini kerana segala kisah yang terdapat dalam al-Quran tidak mempunyai sebarang penipuan,” katanya ketika memberi ucapan dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia di Kompleks Al Makmur, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, satu daripada kisah dalam al-Quran ialah mengenai Nabi Musa dengan kaumnya ketika ingin menawan bandar Palestin.

Tambahnya, kota tersebut pada ketika itu telah ditawan oleh sesebuah kaum yang lain.

“Pada ketika itu Nabi Musa a.s. memerintahkan kaumnya supaya masuk di sebuah pintu kota Palestin bagi menawan semula daripada pihak musuh.

“Namun demikian, kebanyakan kaumnya iaitu Bani Israel enggan melakukan sedemikian dan menyatakan beliau seorang sahaja pergi berperang manakala mereka hanya menanti semata-mata.

“Maka Nabi Musa mengadu kepada Allah SWT mengenai perkara tersebut dan apa yang berlaku ialah kaum Bani Israel telah dihukum iaitu sesat selama 40 tahun di padang pasir Sinai,” ujarnya.

Tuan Guru ada menyentuh mengenai isu pensijilan halal yang mana beliau menyatakan golongan bukan Islam tidak boleh masuk campur mengenai urusan tersebut.

Kata beliau lagi, isu sebegini adalah berkaitan dengan kesucian agama Islam yang mana terdapat sebab mengapa pentingnya seseorang itu memakan hasil rezeki yang halal.

“Ini kerana rezeki halal ini yang menjadikan seseorang itu baik budi pekertinya dan menghormati kedua-dua ibu bapanya.

“Maka, seharusnya urusan yang berkaitan agama Islam termasuklah mengenai isu halal ini tidak boleh adanya campur dengan daripada golongan bukan Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -