
CARA menyembelih unta adalah dengan mengikat sebelah kaki depannya dan membiarkannya berdiri sebab takut ia lari. Kemudian, ia ditikam pada pangkal lehernya. Lebih senang menyembelih unta daripada lembu sebab ia tidak mudah lari.
Bacalah nama Allah ketika nak menyembelihnya. Kemudian, dagingnya dibahagi-bahagikan kepada orang miskin dan juga orang kaya. Disebut unta (Rujuk Surah Al-Hajj: 36) kerana pada masa itu, kebiasaannya orang menyembelih unta walaupun ada kambing. Sesuailah dengan keadaan tempat itu.
Jadi, kita yang ada lembu atau kerbau, sembelihlah, tiada masalah. Kalau mampu, belilah unta. Kebiasaannya, orang membeli unta dari Australia, jarang dari Tanah Arab. Sembelih unta adalah untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Darah dan daging binatang yang kita sembelih sama ada seekor atau beberapa ekor unta atau lembu tidak sampai kepada Allah (Rujuk Surah Al-Hajj: 37). Yang sampainya adalah niat yang ikhlas. Kalau korban seekor sekalipun, tetapi kita ikhlas dan tidak nak menyohor. Daripada korban berpuluh-puluh ekor sebab nak menyohor, lebih baik korban satu bahagian dengan niat yang ikhlas.
Kita menyembelih atas dasar apa? Atas dasar nak mendekatkan diri kepada Allah. Kalau ada ‘pitih’ lebih, korbanlah satu atau dua bahagian, itu yang lebih penting. Kalau banyak, nak menyohor pula. Heboh satu kampung, biar orang tidak tanya pun.
Allah nak tengok hati kita. Apa tujuan kita buat. Bukan setakat ibadah korban sahaja, tetapi dalam semua perkara. Ulama mengajar supaya kita menyebut ‘lillahi Ta’ala’. Ini adalah untuk melatih kita supaya buat semata-mata kerana Allah. Ia membantu hati kita dan fokus pada tujuan ibadah.
Kalau tidak menyebutnya pun sah, cuma sengaja dibuat begitu sebab nak menolong dan melatih kita. Sebab ada yang solat kerana malu terhadap mertuanya atau takut dirotan oleh ayahnya. Awal-awalnya memang terpaksa, tetapi lama-kelamaan terbiasa.
Jadi, apa sahaja yang kita nak buat, ‘lillahi Ta’ala’. Nabi menyebut dalam satu hadis (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 54 dan Imam Muslim: 1907) yang membawa maksudnya “Sesungguhnya setiap amal itu bergantung pada niat.” – HARAKAHDAILY 11/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















