‘Kita ingat kisah pilu jalan Kampung Jebak Puyoh’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim menegaskan tiada lagi diskriminasi pembangunan berdasarkan warna parti politik.

- Advertisement -

Menerusi catatan di laman Facebook, beliau memuat naik foto jalan baru untuk warga Pondok Paku.

Menurutnya, mungkin orang-orang dahulu membina pondok menggunakan paku, maka kampung itu dikenali sebagai Kampung Pondok Paku.

Kata beliau, sememangnya dalam kampung itu ada pondok pengajian agama.

Tambahnya, terletak dalam Mukim Kerandang DUN Jabi, antara kampung yang berada di bawah pentadbiran JPKK Pondok Paku ialah Kampung Jebak Puyoh.

“Sebut nama Kampung Jebak Puyoh, kita ingat kisah pilu jalan Kampung Jebak Puyoh. Kini segalanya telah berubah,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Mengimbau kisah itu, penduduk Kampung Jebak Puyuh menunggu selama 40 tahun untuk mendapat jalan raya yang baik.

Penantian mereka berakhir apabila infrastruktur baharu bernilai RM435,000 siap digunakan pertengahan Januari 2019.

Majlis perasmian jalan itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang diadakan serentak dengan penyerahan Jadual 5A kepada peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kawasan Petai Patah mukim Kerandang, di Jebak Puyuh, Jabi, pada 14 Februari 2019.

Menurut Dr Samsuri, keperluan asas yang penting dan menjadi nadi penghubung rakyat sekitar yang dibina sepanjang 1.5 kilometer itu memberi kelegaan dan keselesaan kepada penduduk selepas sekian lama menanti.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab memastikan setiap rakyat mendapat kemudahan yang sepatutnya.

Jelasnya, menjadi satu tugas besar dan penting bagi kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan amanah supaya rakyat yang ada di bawah negeri Terengganu berada dalam keadaan baik dan sempurna, dapat menikmati kemudahan dengan baik.

“Tiada lagi diskriminasi pembangunan berdasarkan warna parti politik.

“Zaman itu telah berlalu dan saya yakin warga Jabi tak berhasrat untuk melihat memori pahit seperti itu berulang kembali,” ujar Dr Azman. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

- Advertisement -