
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, Hasan Omar percaya ramai pengunjung terdiri daripada perwakilan dewan-dewan seluruh negara akan mula bergerak ke Kompleks Al Makmur Kerdau.
Ini susulan bermula 12 sehingga 15 September ini akan berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS ke-70 di kompleks itu.
Justeru, katanya pastikan pengunjung semua tidak terlepas mencuba gulai patin tempoyak.
Ini, ujarnya kerana daerah Temerloh dikenali sebagai destinasi gulai ikan patin tempoyak yang sangat terkenal.
Menurutnya, walaupun dinamakan ’gulai’, tetapi menu itu tidak menggunakan santan.
“Gulai ini biasanya dimasak bersama ikan, dan antara ikan-ikan yang sesuai digulai bersama tempoyak ialah ikan patin.
“Pastikan anda semua tidak terlepas mencuba menu utama di Temerloh iaitu gulai patin tempoyak dan masakan kampung yang lain.
“Sudah makan pastikan anda lap mulut betul-betul sebab saya takut bibirnya masih berminyak dengan gulai patin tempoyak, orang Temerloh kabo ‘berminyok moncong’,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Selain itu, ujarnya di Temerloh juga terdapat Pusat Konseversi Gajah di Kuala Gandah, Lanchang.
“Anda pasti akan teruja melihat gajah di hadapan mata. Di situ juga terdapat deerland yang menempatkan rusa-rusa,” ujarnya.
Oleh itu, ujar beliau jangan melepaskan peluang mengunjungi pusat-pusat pelancongan yang ada di sekitar Temerloh.
“Berhati-hatilah di dalam pemanduan, semoga perjalanan anda semua dirahmati dan berada dalam lindungan Allah SWT. Kami menanti kedatangan anda dengan penuh syukur,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











