
KUALA TERENGGANU: Isu sijil halal kini menjadi perdebatan hangat selepas kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang mendakwa cadangan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol diwajibkan mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada peniaga.
Naib Pengerusi DAP itu berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan memberi kesan negatif terhadap imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Namun, rata-rata umat Islam berpendapat bahawa memastikan makanan dan minuman yang dikonsumsi halal merupakan aspek yang sangat penting.
Menghayati bab halal, pakar perubatan keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah berkongsi pengalaman berharga tentang kepentingan memilih restoran yang halal dan toyyiban melalui cerita rakan sekerjanya, seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ustaz Berhanundin Abdullah.
Menurutnya, dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu, Berhanundin yang terkenal dengan sikap berhati-hati dalam memilih tempat makan, membuat keputusan untuk memeriksa restoran yang akan mereka singgahi.
Walaupun perjalanan tersebut sudah lama dan mereka semua lapar, Berhanundin tetap mahu memastikan restoran yang mereka pilih mematuhi syariat Islam sepenuhnya, bukan hanya dalam aspek halal tetapi juga toyyiban.
“Tak lulus! Pergi kedai depan lagi.” Dia beri arahan.
“Saya pun terus memecut ke kedai depan satu lagi yang mungkin lebih menyelerakan. Kedai yang satu lagipun tak lulus katanya. Sehinggalah sampai ke beberapa kedai, masih tak lulus untuk singgah. Perut kami dah lapar, takkan susah sangat nak cari menu yang sesuai sedangkan Kelantan dan Terengganu ni sama sahaja menunya.
“Apa yang ustaz kata tak lulus tu, makanan tak sedap ke?” Saya mula sangsi dengan gelagat Berhanundin.
“Tak, saya cuba cari restoran yang patuh syariat. Pakai kelubung (tutup aurat) ke tidak tukang masaknya,” jawab beliau dengan tegas.
Suhazeli berkata, Berhanundin bukan sahaja menitikberatkan status halal, tetapi juga kebersihan dan etika penyediaan makanan.
“Kami jadi malu dengan diri sendiri yang agak bermudah-mudah dengan isu ini. Walaupun mungkin kesemua restoran tersebut adalah Muslim walaupun tiada logo halal JAKIM dipamerkan, tetapi mencari sesuatu yang halal dan toyyiban itu terlalu penting.
“Bukan setakat halal tetapi toyyiban, di mana penyediaan sesuatu menu itu perlu diperhatikan. Begitu juga dengan pekerjanya, menjaga syariat ataupun tidak, menghisap rokok ataupun tidak.
“Itulah konsep untuk menjaga hati kita supaya tidak terus gelumat dengan memakan benda-benda yang tidak toyyib,” ujarnya.
Menurutnya, makanan yang dimakan juga mempengaruhi keperibadian dan sahsiah kehidupan individu.
“Terima kasih Ustaz Burhanundin yang menjadi guru pertama saya mengenai memilih restoran yang halalan dan toyyiban,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











