
KUALA LUMPUR: Armada Bersatu Malaysia menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat mengenai penyalahgunaan kuasa yang melibatkan pihak kerajaan pada masa ini.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sudah terlalu banyak isu yang ditimbulkan oleh pihak kerajaan ketika mentadbir negara ini.
“Satu daripadanya ialah mengenai isu penswastaan sebahagian daripada pemilikan saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructures Partners milik BlackRock.
“Tambahan pula, perjanjian tersebut telah dilakukan secara tertutup,” katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Perikatan Nasional di Publika, di sini, hari ini.
Menurut beliau, terdapat banyak permasalahan tatakelola korporat dan kementerian yang telah mencemari nama baik Malaysia khususnya dalam sektor pengangkutan dan logistik melibatkan entiti milik kerajaan.
Tambahnya, perkara sebegini bukan sahaja dalam MAHB tetapi juga Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Maka kami ingin menggesa PAC untuk menyiasat sepenuhnya perkara-perkara berikut dengan memanggil Kementerian Pengangkutan, Khazanah Nasional Berhad, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam isu-isu sebegini.
“Mengenai isu MAHB, Armada mahu PAC untuk membuat perbandingan dengan percubaan pertama penswastaan MAHB yang juga melibatkan Global Infrastructure Partners
(GIP) pada tahun 2019 dan semua pemain-pemain (korporat dan kementerian) yang terlibat dahulu dan sekarang.
“Selain itu, untuk isu masalah-masalah teknikal yang dihadapi oleh Malaysia Aviation Group (MAG) pula Armada mendesak PAC melakukan kajian forensik untuk menentukan sama ada unsur-unsur sabotaj wujud di dalam transaksi pelaburan SIA Engineering Company (SIAEC) yang melibatkan Khazanah Nasional Berhad.
“Siasatan ke atas Kementerian Pengangkutan juga perlu dibuat dalam urus niaga ini memandangkan kesan operasi yang semakin mudarat berkenaan kemampuan Malaysia Airlines untuk memainkan peranannya sebagai syarikat penerbangan nasional (national carrier).
“Di samping itu ialah mengenai isu perolehan aset tren baharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui kaedah pajakan (lease) yang dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM10.7 bilion daripada kerajaan China seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 14 Ogos 2024 yang lalu.
“ARMADA menggesa agar disiasat sepenuhnya proses perolehan ini untuk memastikan ketelusan dan semak serta timbang yang sewajarnya sudah dilaksanakan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Fayhsal menyatakan Armada Bersatu Malaysia dengan rendah diri menyembah takzim memohon kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja untuk membatalkan atau menangguhkan urus niaga penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sehinggalah perkara-perkara berikut dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang tiada berkepentingan.
Kata beliau lagi, ini kerana urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP yang dikuasai BlackRock akan membolehkan mereka mempunyai pegangan dan campur tangan dalam pengurusan yang menguasai hampir 40 buah lapangan terbang negara termasuk lapangan terbang yang diguna pakai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Armada Bersatu Malaysia turut menyeru supaya institusi dana milik orang Melayu dan Bumiputera iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan institusi dana pencen milik penjawat awam Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk tidak menjual saham mereka dalam MAHB kerana ianya merugikan kerana harga jualan saham hasil penswastaan MAHB amat rendah.
“Tambahan pula, analisis daripada pakar-pakar menunjukkan nilai saham MAHB adalah melebihi RM16 bagi satu unit saham, dan sekiranya dijual pada paras yang rendah iaitu RM11, orang Melayu dan penjawat awam akan berdepan kerugian berbiiion ringgit.
“Ini satu bentuk pengkhianatan bukan saja kepada orang Melayu, Bumiputera malah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Semoga sambutan Hari Malaysia pada hujung minggu ini akan memberi sinar baharu buat negara dalam melawan sebarang bentuk muslihat, sabotaj dan pengkhianatan daripada golongan yang jelas terbukti gagal menguruskan negara dan tanah air tercinta kita dengan baik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











