Petani disaran tanam kelapa SGG

- Advertisement -

PASIR PUTIH: Kerajaan Negeri Kelantan menyarankan petani di negeri ini menanam kelapa jenis SGG (San Ramon Golden Dwarf), memandangkan ia salah satu varieti yang mendapat perhatian dalam industri pertanian tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, antara kelebihan utamanya ialah tempoh matang yang lebih singkat.

Menurutnya, pokok itu mula berbuah dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas ditanam.

- Advertisement -

“Saiz pokoknya yang rendah memudahkan proses penuaian serta penyelenggaraan.

“Selain itu, kelapa SGG juga dikenali kerana daya tahannya terhadap beberapa jenis penyakit, sekali gus mengurangkan kos penjagaan,” katanya ketika berucap di pekarangan kediaman ADUN Gaal, dekat sini hari ini.

Terdahulu beliau telah menyempurnakan Majlis Perasmian Penyampaian Anak Benih Kelapa DUN Gaal 2024 sebanyak 800 anak benih kelapa SGG diberikan kepada 40 peserta.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Mohd Rodzi Jaafar dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Pertanian Kelantan dan wakil Darulnaim Agro Management Industries Sdn Bhd.

Menurut ADUN Selising itu lagi, dari segi hasil, varieti itu mampu menghasilkan buah dalam kuantiti yang banyak, manakala air kelapanya yang manis menjadikannya pilihan popular di pasaran.

“Dengan potensi ekonomi yang tinggi, kelapa SGG menawarkan peluang yang baik untuk para petani meningkatkan produktiviti serta keuntungan mereka,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -