
KUALA TERENGGANU: Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) memikul tanggungjawab besar dan penting dalam pembangunan sukan orang pekak negara.
Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, MSDeaf bukan sahaja membangunkan sukan dalam kalangan orang pekak, tetapi juga memberikan peluang kepada atlet pekak berbakat untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Mereka mempunyai 14 ahli gabungan sukan orang pekak negeri,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan selepas mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia kali ke-7 di Kuala Terengganu 2024, semalam.
Menurutnya, kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan untuk atlet mempamerkan bakat mereka tetapi juga menyediakan laluan untuk menyertai acara yang lebih besar, seperti Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA).
“SOPMA ke-22 (SOPMA XXII) akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada bulan Julai 2025,” ujarnya.
Kata beliau, penganjuran Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia di Kuala Terengganu diuruskan sepenuhnya di bawah oleh TS Deaf, atau pihak tuan rumah dari Terengganu.
“Tahniah diucapkan buat semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











