MAPS: Pelaburan lebur, Saarani nak cuci tangan?

DAP dahulu menentang penyelewengan, kini diam

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad seharusnya menjawab isu perobohan bangunan Movie Animation Park Studio (MAPS) agar diketahui rakyat, bukannya berlepas tangan kononnya tidak masuk campur.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Perak yang juga ADUN Semanggol, Razman Zakaria berkata, hal tersebut berhak diketahui umum kerana ianya melibatkan banyak wang rakyat yang dilaburkan untuk MAPS berkenaan.

“Duit kerajaan negeri dilaburkan kepada anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). Sementara PKNP pula tubuh syarikat lain untuk wujudkan MAPS dengan pelaburan lebih setengah billion ringgit.

“Tetapi ia hilang begitu saja. Bagaimana status tanah dan lain-lain? Semua itu kena dijelaskan kerana melibatkan hak rakyat,” tegas beliau memberi reaksi terhadap ulasan Saarani kepada isu itu.

MAPS ini kata Razman lagi, ibarat seperti isu 1MDB dalam versi Perak, di mana beliau turut difahamkan bahawa pinjaman untuk membinaan bangunan rekreasi tersebut belum selesai dibayar lagi.

Namun katanya, wang itu ‘hilang’ setelah diserahkannya projek tersebut kepada sebuah syarikat lain, tetapi akhirnya terpaksa ditanggung kerajaan negeri, di mana ia merupakan satu proses tidak cekap dan perlu dibuat siasatan.

Terdahulu, Saarani pada kenyataannya mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak boleh masuk campur urusan projek gajah putih bernilai RM520 juta yang ditutup sejak 28 Januari 2020 lalu kerana ia kini milik pelikuidasi (liquidator).

MAPS yang terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh itu dakwanya berada di bawah Perak Corporation Berhad (PCB) yang sudah digulung dan berikutan itu MAPS bukan kepunyaan kerajaan negeri.

Razman sehubungan itu menyifatkan jawapan Saarani selaku Menteri Besar Perak bahawa perkara itu tiada melibatkan atau campur tangan kerajaan negeri kerana hak syarikat swasta, adalah satu jawapan yang salah.

“Apabila kita melabur dalam sesebuah syarikat, mestilah ada dari wakil kerajaan dari kalangan Ahli Lembaga Pengarah untuk menjaga kepentingan negeri.

“Lantikan itu untuk menjaga MAPS sebab pelaburannya besar. Tetapi tak tahulah sama ada orang yang dilantik itu tidak tahu atau tidak bertanggungjawab,” bidas Razman.

Saarani sebagai Menteri Besar kata Razman, perlu bertanggungjawab menjaga negeri keseluruhannya walaupun ada Exco yang menjaga portfolio tertentu dan juga pelaburan.

“Jangan pula persoal saya kenapa saya tak bangkit hal ini semasa jadi Exco Kerajaan Negeri dahulu. Dia MB patut lebih tahu semua perkara dalam negeri,” tambahnya lagi.

Seperkara lagi ujarnya, DAP antara paling lantang menentang penyelewengan ketika berada di barisan pembangkang dahulu, tetapi kini sebagai kerajaan diam seribu bahasa.

“Termasuk juga Perdana Menteri Kerajaan Madani kini yang kononnya bersungguh-sungguh nak bebas dari rasuah. Tetapi rasuah depan mata masih ada di dalam kerajaan. Semuanya retorik tipu rakyat sahaja,” bidasnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -