SG4 ketengah mesra pendidikan agama rakyat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kluster pendidikan Empat Kerajaan Negeri (SG4) yang melibatkan Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu mengetengahkan mesra pendidikan agama rakyat.

Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, langkah itu melibatkan institusi pondok, tahfiz, sekolah rendah dan menengah Islam, serta kolej-kolej yang berteraskan pendidikan agama.

“Kerajaan negeri memberi ruang yang selesa dan mesra kepada institusi pendidikan ini, termasuk yang dibangunkan oleh NGO dan komuniti setempat, dengan sokongan semampu yang kita dapat.

- Advertisement -

“Fokus utama adalah memastikan semua institusi ini dapat berdiri sama tinggi dan sama-sama berusaha untuk memperkukuhkan sistem pendidikan, tanpa wujudnya halangan di antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam negeri Terengganu 2024, di Dewan Auditorium JHEAT, di sini, hari ini.

Satiful berkata, meskipun kerajaan menyediakan modul pendidikan, peranan NGO dalam membangunkan institusi pendidikan rakyat tidak boleh dinafikan.

“Sumbangan mereka dalam membeli tanah, membina bangunan, dan menyediakan kemudahan pendidikan tanpa kos kerajaan adalah satu usaha yang dihargai oleh kerajaan.

“Ini turut membantu meringankan beban kewangan kerajaan dalam sektor pendidikan,” katanya yang juga ADUN Paka.

Beliau berkata, sejak 2018, kerajaan negeri Terengganu mengharapkan supaya ada kerjasama yang baik dari institusi kerajaan dan juga swasta.

“Kita mengalu-alukan semua pihak dalam membangunkan institusi tapi biarlah dengan saluran yang betul serta mematuhi modul yang disediakan, untuk melahirkan generasi yang terbaik dan memastikan kesinambungan pendidikan ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -