Exco Sukan mahu perancangan berjalan lancar, berjaya

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pasukan kerja di bawah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) diharap dapat merangka gerak kerja yang bersungguh-sungguh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ini dalam memastikan perjalanan setiap perancangan berjalan lancar dan berjaya dengan cemerlang.

Beliau menyatakan demikian menerusi laman Facebooknya, hari ini susulan mengadakan perbincangan bersama UBSNT, kelmarin.

- Advertisement -

Ini, katanya bagi mendengar laporan program dan baki pelaksanaan program bagi suku ketiga dan keempat tahun 2024.

Menurutnya, untuk September 2024, penganjuran Persidangan ADUN Belia siri yang ketiga akan diadakan di Wisma Darul Iman.

Katanya, seramai 37 orang ADUN Belia akan berhimpun untuk mengasah bakat dan melontarkan pandangan buat pihak Kerajaan Negeri Terengganu.

Sementara itu, ujarnya aktiviti sukan untuk belia dan beliawanis seperti kejohanan futsal dan kejohanan bola jaring turut dibentangkan bagi mengisi pelaksanaan penganjuran sebelum penghujung tahun ini.

Dalam pemerkasaan NGO, jelasnya program Townhall NGO dengan memberikan penumpuan dalam Kluster Kebajikan akan diadakan secara berkolaborasi dengan pihak ROS demi memantapkan perjalanan NGO-NGO dalam Kluster Kebajikan di seluruh Negeri Terengganu.

Beliau berkata, peranan pasukan sukarelawan T-Volt turut diberikan perhatian dengan menganjurkan program bersama Orang Asli di Terengganu dan persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh bagi mencurahkan khidmat kebajikan jika berlaku banjir.

“Saya mengharapkan agar pasukan kerja di bawah UBSNT dapat merangka gerak kerja yang bersungguh-sungguh dalam memastikan perjalanan setiap perancangan berjalan lancar dan berjaya dengan cemerlang,” ujarnya yang juga ADUN Tepuh. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -