Akta Pembaharuan Semula Bandar perlu diketahui

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Orang Melayu Islam perlu mengetahui berhubung Akta Pembaharuan Semula Bandar, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Menurutnya, ini kerana akta itu dikatakan akan mengusir orang Melayu dari kawasan bandar telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau menyentuh perkara itu pada program Diskusi Isu Semasa peringkat DUN Wakaf Mempelam, kelmarin.

- Advertisement -

Turut menjadi ahli panel ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Jabatan Pengurusan Strategik dan Advokasi Dasar Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan M Ali.

Tiga topik utama dibahaskan serta dibentangkan pada diskusi itu iaitu isu Dewan Rakyat, nasional dan Palestin.

Ahmad Amzad yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat juga memaklumkan pihaknya sedang mengadakan roadshow berkenaan akta tersebut.

“Isu akta ini yang dikatakan akan mengusir orang Melayu dari kawasan bandar telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan Masyarakat,” ujarnya menerusi satu catatan di laman sosial beliau.

Tambahnya, terdapat dakwaan bahawa pelaksanaan akta itu boleh menyebabkan penduduk asal, terutamanya orang Melayu, terpaksa berpindah dari kawasan yang sedang dibangunkan semula yang sekali gus menggugat kedudukan ekonomi dan sosial mereka.

“Ini perkara serius yang perlu diketahui oleh semua orang, terutama sekali orang Melayu, Islam,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau turut menyentuh isu pemilikan BlackRock dalam Boeing Composites Malaysia (BCM) di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurutnya, berdasarkan laporan Nasdaq, BlackRock memiliki sekitar 5.6 peratus kepentingan dalam syarikat induk Boeing.

Walau bagaimanapun, jelasnya BCM di Kulim Hi-Tech Park hanyalah sebahagian daripada operasi pembuatan global Boeing dan tidak mempunyai pemilikan langsung oleh BlackRock, seperti kes pemilikan Global Infrastructure Partners (GIP) di Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Katanya, pemilikan saham oleh BlackRock dalam Boeing adalah sebahagian daripada portfolio pelaburan mereka yang tidak besar dan tidak terlibat secara langsung dalam operasi harian atau pengurusan BCM.

Tambahnya, jika dibandingkan, pemilikan BlackRock dalam MAHB melalui GIP adalah lebih signifikan dan bahaya, kerana ianya melibatkan dari segi kepentingan strategik dan pengurusan aset infrastruktur negara, melibatkan hampir 30 peratus melalui pemilikan GIP.

“Ini memerlukan perhatian khusus dalam konteks kawalan aset strategik.

“Semoga kefahaman yang diperoleh pada malam ini, dipanjangkan serta disampaikan kepada orang ramai,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -