
KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT) menggesa siasatan dibuat ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok susulan kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan ketenteraman awam negara ini.
Ketua DPPHT, Muhamad Hamdi Harun berkata, Teresa Kok tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu memandangkan rakyat di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang majoritinya beragama Islam.
Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis ke atas Teresa Kok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, Kuala Berang, semalam. (Foto atas)
Menurutnya, kenyataan Naib Presiden DAP itu menyentuh kesucian agama Islam, iaitu perihal mendapatkan makanan yang halal dalam kalangan orang Islam dan hak beragama orang Islam, lapor portal TRDI.my.
Katanya, kenyataan itu jelas menghasut golongan bukan Islam untuk menentang tindakan kerajaan bagi mewajibkan sijil halal untuk orang Islam.
Tambahnya, ucapan itu jelas mendatangkan kegusaran dan kebimbangan dalam hati orang Islam di Malaysia kerana Teresa merupakan ahli politik parti kerajaan.
“Kami turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan telus terhadap kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu yang mampu mengundang pelbagai kesan buruk terhadap keharmonian rakyat di negara ini,” ujarnya.

Justeru itu, ujar beliau, pihaknya berharap Majlis Raja-Raja dapat campur tangan dan mengambil tindakan serius terhadap Teresa.
“Hal ini kerana ini bukanlah pertama kali orang bukan Islam mempersoalkan perkara-perkara yang menyentuh soal Islam,” tambahnya lagi.
Hamdi juga berkata, pihaknya menuntut pemimpin Islam di negara ini bertindak tegas terhadap isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan agama Islam terus dipersoalkan.
Tambahnya lagi, tidak wajar kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin dalam parti kerajaan yang menentang mana-mana pihak yang menggunakan isu 3R, namun mereka sendiri yang bertindak sedemikian.
Beliau menegaskan, umat Islam di Malaysia tidak pernah sesekali mengganggu gugat hak agama lain. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











