
KUALA TERENGGANU: Wan Ahmad Syakir Wan Mohd Razi, 19, dari Kampung Amir, Besut, tidak menyangka akan menerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM, STPM, dan STAM 2022 kali ke-43.
Menurutnya, kejayaan itu akan menjadi titik permulaan bagi mencapai cita-cita untuk melangkah lebih jauh dalam bidang akademik.
“Hari ini saya rasa sangat gembira apabila dapat pingat emas ini. Sebenarnya sepanjang bersekolah, saya tak pernah sangka boleh dapat anugerah sehebat ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis anugerah tersebut, di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Beliau percaya bahawa kejayaan yang diperoleh adalah petunjuk bahawa dirinya mempunyai potensi yang lebih besar daripada yang pernah dibayangkannya.
“Bila dapat ini, mungkin ini petanda yang Allah nak tunjuk potensi kita, yang kita boleh pergi lebih jauh daripada apa yang kita pernah mimpikan.
“Ini bukan pengakhiran, tapi langkah pertama yang boleh membawa saya ke tempat lebih jauh lagi, insya-Allah,” ujarnya.
Beliau yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut berkata, sumber inspirasi yang mendorong kepada kejayaan ialah datang dari ibu bapanya, Zawahir Che Mood, 45, dan Wan Mohd Radzi Wan Sulaiman, 50.
“Inspirasi itu datang dari ibu bapa saya. Saya juga membina inspirasi saya sendiri, sedikit demi sedikit.
“Dulu saya berinspirasi untuk mendapatkan kejayaan straight A sahaja, bila sudah dapat kita akan teruskan untuk mendapatkan benda yang lebih hebat dan hebat lagi,” katanya.
Berkongsi impian di masa hadapan, anak kedua daripada lima beradik itu bercita-cita menjadi jurutera kimia.
“Saya ada ditaja oleh Petronas, mungkin saya akan bekerja dengan Petronas. Kalau ada peluang lagi insya-Allah saya akan sambung belajar untuk Master, PhD,” katanya yang berjaya menamatkan hafalan Al-Quran pada tahun 2019 ketika berusia 14 tahun.
Anak tukang cat peroleh kejayaan
Turut memperolehi pingat emas, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Nur Khalidah Adilah Mohammad, 19, melahirkan rasa syukur tersenarai dari empat penerima anugerah tersebut.
Beliau yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang Sains Komputer berharap dapat mencapai cita-citanya menjadi penganalisis data.
Anak kepada pasangan, Mohammad Yusof, 55, yang merupakan tukang cat dan isteri, Zaiton Ishak@Yusof, 48, seorang suri rumah mempunyai rekod akademik yang sangat cemerlang, termasuk pencapaian 9A+ dalam SPM dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 dalam program foundation.
Beliau juga pernah menyertai beberapa pertandingan matematik seperti Kangaroo Math Competition di mana beliau mendapat Honourable Mention serta Silver Award dalam pertandingan Aureka.
Berkongsi petua untuk mencapai kejayaan, Khalidah berkata, beliau mengamalkan disiplin tinggi dalam belajar dan sentiasa mendengar nasihat daripada ibu bapa, guru-guru dan pensyarah.
“Saya patuh kepada jadual belajar yang saya buat sendiri, kerana setiap orang ada cara tersendiri untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau juga berharap kejayaannya dapat menyumbang kepada pembangunan negeri Terengganu pada masa hadapan.
“Saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan satu hari nanti, saya ingin memberikan sumbangan kepada negeri Terengganu melalui kepakaran yang saya peroleh,” ujarnya.
Kesemua penerima Anugerah Pingat Emas menerima sehelai blazer, pingat emas, peranti mudah alih, replika cek dan wang tunai RM4,000 serta sijil penghargaan.
Penerima anugerah khas dan pelajar terbaik pula menerima sehelai blazer, peranti mudah alih, replika cek dan wang tunai RM2,000 serta sijil. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











