
BALING: Isu sijil Halal yang dipertikai oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim merupakan cubaan berani pemimpin DAP mengheret umat Islam negara ini dalam satu konflik yang besar dan berpanjangan.
Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad berkata, penghinaan dilemparkan Naib Pengerusi DAP itu jelas satu bentuk campur tangan dalam urusan dan hal ehwal umat Islam.
“Jangan cuba-cuba untuk menyalakan api di tempat tumpahan minyak. Akibatnya boleh menyala dan membakar pada bila-bila masa saja,” tegas beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Baling.
Katanya, kenyataan Teresa itu dianggap ‘liar’ kerana mempertikai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan sijil Halal yang bukan sahaja membakar api perkauman malah mengundang kepada ketidakamanan negara.
Justeru tegasnya, pemimpin DAP itu perlu membuat permohon maaf secara terbuka dan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan dihadapkan kemuka pengadilan untuk tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.
“Sekiranya tiada sebarang tindakan dikenakan oleh kerajaan, tiada siapa dapat menjangkakan, apakah yang boleh dan bakal berlaku terhadap masa depan negara. Setelah berkali-kali pihak di sebelah sana (DAP) mencabuli sensiviti agama bangsa Melayu,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemimpin DAP dengan sepotong ayat Al-Quran, surah Al-Kafirun, ayat 6 yang bermaksud
‘Untukmu agamamu dan untukku agama aku’.
Supaya mereka memahami bahawa hal-ehwal berkaitan agama Islam tidak boleh sewenang-wenangnya dicampur tangan oleh orang bukan Islam. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











