Halal berdolak-dalih, haram minta dikompromi?

- Advertisement -

LENGGONG: Sentimen berkenaan logo Halal tidak sepatutnya berbangkit kerana makanan yang halal dimakan oleh orang Islam mengikut spesifikasi syariat, ianya boleh juga dimakan oleh orang bukan-Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Muhammad Rif’aat Razman berkata, begitu juga sekiranya ada negara menetapkan makanan dan minuman perlu ikut hukum agama Buddha atau Kristian.

Jelasnya, orang Islam masih lagi boleh menjadi penjual produk makanan, iaitu tanpa ada unsur tidak halal di mana bukan sahaja orang Islam pun dapat beli, malah orang bukan-Islam juga boleh makan makanan itu.

“Tiada masalah sebenarnya. Lainlah dengan agama Hindu yang tidak membenarkan penganutnya makan daging lembu, atau vegetarian.

“(Termasuk) juga Yahudi yang ajaran mereka terikat dengan hukum kosher yang mengharamkan campuran susu dan daging, arnab dan sebahagian makanan laut.

“Namun secara umumnya mereka masih lagi boleh makan makanan yang disediakan mengikut spesifikasi halal Islam,” kata beliau pada kenyataannya, hari ini.

Ujarnya lagi, hal itu tidak perlu diremehkan kerana selama ini tidak timbul apa-apa masalah apabila orang bukan-Islam makan nasi lemak, roti canai, ayam bakar dan lain-lain yang dijual oleh orang Islam atau di premis makanan milik orang Islam.

Jelas Rif’aat, suatu ketika dahulu di negara Barat, orang Islam mendapat bekalan daging dan makanan lain yang tertera cop ‘K’ atau ‘kosher certified’ daripada komuniti Yahudi.

Perkara itu katanya, atas dasar halal makan sembelihan ahli kitab yang diyakini mereka berpegang dengan syariat kitab.

“Halal dari sudut kosher ini apabila binatang yang disembelih perlulah
memastikan urat leher binatang tersebut diputuskan dengan sempurna, beserta syarat-syarat lain.

“Kosher juga tidak menghalalkan daging khinzir termasuk campuran arak dalam makanan dan minuman juga tidak dibenarkan.

“Di wilayah Palestin, orang Islam menjual ‘burger’ dan ‘sandwich’ tidak mencampurkan antara daging dan keju, kerana meraikan kosher, iaitu sistem pemakanan orang Yahudi, walaupun orang Islam boleh makan daging campur keju,” tegasnya lagi.

Sementara tambah beliau, orang Yahudi lebih kuat berpegang dengan ajaran ajaran kitab berbanding Kristian yang agak longgar dalam
mengamalkan ajaran agama mereka.

Oleh itu beliau membuat kesimpulan, makanan dan minuman yang halal dan kosher masih dapat dinikmati oleh semua manusia.

Dalam pada itu, berkaitan status pempengaruh dimuat naik di media sosial itu katanya, tiada masalah sekiranya hendak dikuatkuasakan peraturan penyediaan makanan mengikut ajaran agama tertentu untuk menjaga hak pelanggan.

“Tetapi kalau nak jamu orang Islam makan, pastikan halal. Kalau nak jamu orang Yahudi makan, pastikan kosher. Kalau nak jamu orang Hindu makan, pastikan bukan daging lembu,” katanya.

Terdahulu, individu tersebut membangkitkan persoalan sama ada ‘ikut atau diam atau melawan’ sekira semua restoran di sebuah negara mewajibkan untuk dapatkan sijil menjual makanan mengikut agama tertentu.

Justeru kata Rif’aat, sekiranya kerajaan bukan-Islam menguatkuasa undang-undang memaksa binatang tidak boleh disembelih mengikut syariat Islam, atau orang Islam wajib minum arak dan makan babi, maka pada waktu itu pilihan boleh dibuat.

Iaitu katanya, sama ada berpindah ke Darul Islam, atau membuat petisyen, demonstrasi bantahan dan menyokong pihak yang pro-Islam dalam pilihan raya yakni sama sekali tetap tidak memakan makanan haram.

Namun katanya, untuk perkara sedemikian, orang Islam perlu berkuasa demi menjaga agama walaupun terdapat golongan yang memandang orang Islam yang berpolitik untuk menjaga agama itu sebagai penunggang agama.

Sedangkan katanya, golongan sekular tersebut berkompromi dengan kehendak yang bercanggah dengan syariat Islam. HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -