
KUALA TERENGGANU: Seramai 634 pelajar diraikan dalam Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 Kali Ke-43 dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM, dan STAM 2022 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ir Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, acara ini memberi makna yang besar, terutama kepada penerima anugerah yang telah mencapai kecemerlangan dalam pengajian mereka di pelbagai peringkat.
“Tanaman yang tengah subur yang sewajarnya terus dibajai supaya dapat tumbuh dapat mengelakkan pokok kita ini daripada penyakit-penyakit yang akan merosakkan pokok yang kita tanam ini.
“Merekalah yang akan menjadi tunjang dalam negeri dan negara kita dan seterusnya memberi sumbangan dalam masyarakat.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua anak-anak pelajar dan ibu bapa serta guru-guru serta semua pihak,” katanya ketika merasmikan majlis itu.
Turut hadir Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahari Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurutnya, keputusan cemerlang pelajar SPM Terengganu bagi tahun 2022 terus membanggakan dengan gred purata negeri 4.59, lebih baik daripada gred purata nasional 4.74.
“Seramai 333 daripada 18,747 calon memperoleh keputusan semua A, peningkatan berbanding 321 calon pada tahun 2021.
“Dalam kategori STPM, Terengganu mengekalkan rekod kecemerlangan selama empat tahun berturut-turut sebagai negeri terbaik kebangsaan dengan nilai purata gred kumulatif (PNGK) 3.04, mengatasi PNGK nasional 2.82. Seramai 112 pelajar mendapat keputusan semua A daripada 2,178 calon yang menduduki peperiksaan.
“STAM Terengganu merekodkan keputusan cemerlang dengan memperolehi gred purata nasional 3.13 berbanding dengan 3.15 pada tahun 2021,” katanya.
Kata beliau, kerajaan negeri komited untuk terus memartabatkan pendidikan sebagai aspek penting pembangunan negeri, menjadikan Terengganu sebagai anjung ilmu.
“Pelbagai inisiatif telah dilancarkan, khususnya untuk membantu pelajar daripada golongan B40 menerusi skim pelajar cemerlang Yayasan Terengganu, meliputi penajaan untuk ijazah sarjana muda, sarjana, dan PhD dalam bidang tertentu,” katanya.
Kata Samsuri, majlis ini juga menjadi platform motivasi bagi generasi muda untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam kehidupan dan pengajian mereka, dengan menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat serta pentingnya ketahanan diri dalam menghadapi cabaran.
“Kena ada ketahanan sebab itu antara motivasi yang saya selalu kongsikan dengan anak-anak pelajar ialah tentang kisah Mohammad Ali, seorang peninju terkenal di dunia.
“Beliau pernah menyebut, ‘tidak ada salahnya dalam perlawanan tinju untuk kita jatuh, tetapi yang salahnya bila kita jatuh kita tidak boleh bangun-bangun’.
“Begitulah juga dalam perjalanan kehidupan kita, perjalanan anak-anak di peringkat pengajian yang lebih tinggi selepas ini. Sudah tentu kita akan melalui saat-saat kita berasa lemah, tidak mempunyai semangat namun itu bukan bermakna kita gagal. Selagi kita boleh bangkit daripada perkara itu, insya-Allah kita tidak akan pernah tewas,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











