
KUALA LUMPUR: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diberikan keizinan menjalankan tugas bagi menyiasat pemimpin DAP yang mempersoal cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, penjelasan dan pembelaan terbuka buat masa ini hanya akan mengganggu siasatan pihak PDRM.
“Rakyat sedar DAP dominan dalam kerajaan hari ini dengan perwakilan 40 kerusi, namun demikian ia tidak bermakna mereka bebas bersuara tanpa memikirkan sesitiviti rakyat dan peraturan yang sedia ada.
“Ahli Parlimen Malaysia sepatutnya peka dan tahu dari hal sensitiviti rakyat dalam negara. Walau kita mengamalkan kebebasan bersuara namun ianya bukanlah mutlak sehingga bebas menyinggung perasaan sesama kita dalam hal-hal tertentu,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.
Menurutnya, agama dan kepercayaan, adat dan budaya janganlah sesuka hati diterjah dan dipijak lantaran kononnya ghairah mahu bersuara.
Beliau berasa hairan kerana pemimpin DAP itu hampir enam penggal menjadi Ahli Parlimen dan pernah duduk sebagai Exco kerajaan negeri namun masih tidak peka perkara seumpama itu.
“Kata pepatah Melayu, kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Biar salah kain jangan salah mulut. Sebab mulut leher terjerat. Berani buat berani tanggung,” kata beliau.
Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilaporkan berkata sebagai Ahli Parlimen beliau bertanggungjawab menyuarakan masalah rakyat pelbagai kaum.
Kerana itu Teresa dilaporkan membangkitkan agar kerajaan menyemak semula cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang pada pandangannya akan hanya menambah kesukaran buat peniaga dan beban kepada perniagaan kecil.
Pemimpin DAP itu dilaporkan mendakwa terpaksa bercakap secara terbuka dan bukan melalui saluran dalaman sebagaimana saranan Perdana Menteri ke-10 (PM10) kerana cadangan Menteri Agama itu dibuat secara terbuka tanpa berbincang terlebih dahulu.
Sebelum itu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilaporkan turut membela Teresa dengan berkata kenyataanya Ahli Parlimen itu tidak melanggar undang-undang.
Pihak polis turut dilaporkan berkata siasatan terhadap Teresa telah pun dimulakan bawah Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan beberapa laporan polis telah dibuat oleh pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











