
JOHOR BAHRU: Urusan untuk memastikan umat Islam di negara ini terjaga halal dan haram terutama dari sudut makanan adalah satu tuntutan kepada umat Islam.
Ketua Penerangan Ulamak PAS Negeri Johor (DUPNJ), Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, perkara itu tidak wajar dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak.
“Ketetapan ini adalah untuk umat Islam dan tidak melibatkan mereka yang bukan-Islam. Bahkan bukan sekadar halal, Islam memerintahkan umatnya memakan makanan yang suci lagi baik.
“Dalam hal ini ketetapan untuk mendapatkan sijil Halal bagi perniagaan dan produk umat Islam pastinya suatu yang baik untuk umat Islam dan tak perlu dipolitikkan,” tegasnya.
Beliau turut menggesa agar isu itu tidak dijadikan polemik bagi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.
“Dewan Ulamak PAS Negeri Johor menasihatkan YB Teresa agar tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguriskan hati dan perasaan umat Islam. Jauhilah Islamofobia dan kenyataan yang mengelirukan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara ini dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi DUPNJ hari ini sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dalam satu kenyataan yang dilapor sebuah media.
Teresa membidas cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil Halal di mana katanya hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan, beban kepada perniagaan kecil dan boleh memalukan negara.
Teresa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar sebelum itu yang menyatakan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











