Jalan rosak akibat projek ECRL jadi topik kedai kopi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Isu kerosakan jalan disebabkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi topik kedai kopi di Kampung Oh, Besut pagi ini,” kata ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim. (Foto atas)

- Advertisement -

Menerusi hantaran di laman sosialnya, beliau menegaskan rakyat bukan anti pembangunan.

Katanya, semua orang faham bahawa projek mega sebegitu mesti menggunakan jentera dan kenderaan berat, bukannya boleh diangkut batu menggunakan kereta sorong.

Tambahnya, yang rakyat minta hanyalah keprihatinan dalam menangani impak yang timbul semasa kerja-kerja sedang berlangsung.

“Contohnya, kalau jalan sampai berlubang besar sehingga mengancam keselamatan pengguna, baikilah dulu walaupun projek belum siap,” katanya.

Menurutnya lagi, jalan asal yang berturap sebelum projek bermula sekarang sudah bertukar menjadi merah, becak dan berlubang.

“Memang lori ECRL masih boleh lalu melalui jalan sebegitu. Tapi bagaimana dengan motosikal dan kereta orang kampung?

“MRL, ECRL dan CCC sangat lemah dalam hal ini. Situasi ini agak mendukacitakan,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri juga berkata, sebahagian Jalan Matlain Badrin rosak teruk kerana projek ECRL.

“Kita yang kena baiki bagi menyelesaikan aduan rakyat. Harga yang perlu dibayar untuk pembangunan,” ujarnya.

Menurut beliau, berbincang dan berunding dengan pihak ECRL hanya membuang masa dan air liur.

“Depan kita semua OK. Tapi tindakannya tiada,” tambahnya.

Katanya lagi, kemajuan projek ECRL sangat cepat tetapi tindakan dalam menangani aduan rakyat lambat dan kerapnya dibuat senyap sahaja. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -