
ALOR SETAR: Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim bukan sahaja menyentuh sensitivi, malah dilihat seolah-olah cuba mencampuri urusan orang Islam, demikian bidas Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
Kata beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, sememangnya menjadi tanggungjawab bagi penganut beragama Islam untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal dan baik.
“Islam ini sempurna bukan sekadar sembahyang, puasa, pi haji dan bayar zakat sahaja tetapi merangkumi seluruh cara hidup, dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.
“Apatah lagi dalam soal makan minum yang akan menjadi darah daging, wajib datang dari sumber yang halal,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujar Ashah lagi, pemimpin DAP itu sewajar tidak ‘melebih-lebih’ atau ‘lebih sudu dari kuah’ kerana arahan tanda logo halal yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah standard diguna pakai negara.
Sebagai wakil rakyat, tambah ADUN Merbau Pulas itu lagi, pemimpin DAP itu seharusnya menghormati Islam sebagai agama rasmi negara dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang berpontensi mencetuskan kontroversi kaum serta agama.
“Sekarang ini, saya lihat ramai saja orang bukan Islam memilih kedai makan atau restoran yang menyajikan makanan halal, jadi kenapa hal itu boleh didakwa Teresa bertentangan dengan semangat budaya pelbagai kaum?” soal Ashah lagi.
Oleh itu ujarnya, pihak berkuasa perlu tegas dalam hal yang menyentuh 3R agar tidak mudah dipermain-mainkan oleh mana-mana pihak kononnya atas dasar kebebasan bersuara.
Ahli Parlimen Seputeh itu sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan mempertikai arahan JAKIM agar premis makanan yang tidak menyajikan alkohol dan daging babi perlu mendapatkan pensijilan halal.
Hal itu katanya, berpotensi menambah beban kepada perniaga dan ribuan pengusaha restoran Melayu serta mengundang ejekan negara luar.
Sementara dalam kenyataannya hari ini, pemimpin DAP itu mendakwa, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga perlu dilakukan siasatan polis terhadapnya.
Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini kononnya bertujuan melahirkan rasa kebimbangan dan mengetengahkan isu dihadapi oleh rakyat bawahan, sebagai sebahagian daripada tugasnya sebagai seorang anggota parlimen.
“Kita serah kepada pihak polis untuk lakukan siasatan sebab saya difahamkan banyak pihak dah buat laporan polis berkenaan hal ini.
“Seperti yang Menteri Besar Kedah kata semalam, ‘tengok-tengoklah’ kut ada kesalahan di bawah 3R. Takkan bila kita kata kat (kepada) depa (mereka), pasal 3R kita kena, tang depa hentam kita, tak kena,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











