Sijil Halal: Teresa dangkal, tak berpijak realiti terkini

- Advertisement -

TAMBUN: Ketua Ameerah Dewan Muslimat PAS Perak, Farhana Omar menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mengenai sijil Halal sebagai dangkal dan tidak berpijak kepada realiti terkini.

- Advertisement -

Bidasan itu susulan kenyataan pemimpin DAP tersebut mempertikai kewajiban sijil Halal JAKIM kepada syarikat dan restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.

Farhana malah menempelak fobia Teresa sebagai tidak berasas sama sekali kerana menyatakan cadangan mewajibkan sijil Halal tersebut akan memalukan negara dan membebankan peniaga.

“Memalukan negara atau beliau sendiri yang tidak menyedari realiti permintaan produk halal kini semakin meningkat pelusuk dunia Hakikatnya, industri Halal global telah menunjukkan perkembangan yang pesat.

“Bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia kerana peningkatan permintaan produk halal oleh pengguna di seluruh pelosok dunia,” kata beliau pada kenyataannya di sini.

Malah kata Farhana, negara-negara pengeluar daging seperti Amerika Syarikat, New Zealand, India dan Australia, termasuk Jepun telah melaksanakan inisiatif dan dasar untuk mengembangkan industri tersebut.

“Sama ada dari aspek pensijilan dan pemantauan akan diberi perhatian yang serius, seperti pensijilan Halal melalui Persatuan Halal Asia Nippon (NAHA).

“Juruaudit NAHA akan melawat dapur restoran dan pengeluar makanan untuk memastikan bahan dan peralatan yang digunakan menepati piawaian halal,” tambah beliau.

Kelmarin, Teresa melalui kenyataannya tersebut cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Pemimpin DAP itu secara prejudis kepada cadangan dikemuka Menteri Agama, Dato’ Seri Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Beliau juga mendakwa langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain kemungkinan menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

“Tidaklah beliau (Teresa) tahu dan sedar,pada masa ini, 180 syarikat di Jepun telah menerima pensijilan halal, termasuk restoran mewah yang menyajikan masakan Jepun asli.

“Pensijilan Halal ini bukan sahaja mengambil kira sama ada sesuatu produk atau makanan tersebut halal dari sudut kandungan dan bahannya, tetapi turut mengambil kira (pelbagai) aspek.

“(Antaranya) keselamatan, kebersihan, kesihatan bermula dari awal sehingga akhir produk tersebut diproses bagi memastikan kualiti produk ditahap terbaik dan optimum,” jelas Farhana lagi.

Secara realiti ujarnya, pasaran halal global kini mencecah USD4.96 trillion iaitu RM22.34 trillion menjelang 2030 berbanding USD 2.3 trillion bersamaan RM10.28 trillion pada tahun 2020.

Malah tegasnya lagi, unjuran oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), nilai eksport bagi industri halal negara dijangka meningkat kepada RM300 bilion atau sekitar 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Bukankah ini satu peluang besar buat Malaysia untuk menjadi peneraju Industri Halal Global? Malaysia pun dah ada Pelan Induk Industri Halal 2030. Biarlah pelan ini berjalan dengan jayanya. Jadi tak perlukan dipertikaikan lagi. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

- Advertisement -