
PERMATANG PAUH: Peguam, Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani berkongsi pemahaman mudah di sebalik isu sijil Halal yang dikontroversi dan dimomokkan secara buruk oleh pemimpin dari sebuah parti politik.
Tegasnya, Islam agama yang mudah, tetapi bukan dimudahkan sehingga tidak dapat membezakan antara hak dan batil di mana beliau mengimbas pengalamannya ke Amsterdam, Belanda untuk iktibar dan pedoman.
Cerita beliau, di Amsterdam terdapat satu kawasan yang dinamakan Red Light District yang dipenuhi dengan hiburan bebas tanpa batasan, kemungkaran dan pelacuran.
“Perkara itu diketahui apabila saya secara tidak sengaja melewati kawasan itu dan mendapati pelbagai perkara ‘ganjil’ terdapat di situ. Ada kedai-kedai yang mempamerkan alat-alat tidak senonoh dan sebagainya,” jelasnya.
Namun yang lebih ‘menarik’ katanya, terdapat kedai makan dan restoran yang menyajikan makanan halal untuk orang Islam.
“Bagaimana tempat tarikan para pendosa boleh terdapat banyak kedai makanan halal. Adakah ia juga menjadi destinasi kunjungan orang Islam?” ujarnya mencari jawapan.
Persoalan itu terlerai apabila beliau mendapat maklumat, Red Light District itu juga menjadi destinasi kunjungan dari kalangan yang beragama Islam.
Mereka katanya, datang untuk berhibur, menjamu mata dan ada yang melanggani pelacur, tanpa memperdulikan kemurkaan Allah, namun apabila tiba waktu makan perlukan makanan halal.
“Inilah dunia. Kenapa makan mesti ada tanda ‘Halal’? Apakah kerana takut kepada dosa atau hanya sekadar adat dan amalan tradisi semata-mata?
“Perkara ini tidak ubah seperti kisah pencuri ayam di kampung. Curi ayam jiran tetapi nak makan ayam itu, pergi cari tukang sembelih. Makan nak halal tetapi perbuatan haram tak kisah pula,” bidasnya.
Oleh itu tambahnya, perkara seperti itu tidak jauh bezanya dengan pegawai penguat kuasa yang meminta dan menerima rasuah.
Ada pula ujar beliau yang ‘akad’ dengan pemberi kononnya untuk menghalalkan wang suapan itu, namun mereka lupa perbuatan itu dilaknat oleh Rasulullah SAW.
Pegawai Khas kepada Sekretariat ADUN PAS Pulau Pinang, Steven Koh Tien Yew pula dalam ulasannya berkenaan isu sijil Halal menasihatkan Teresa Kok Suh Sim agar menunjukkan teladan yang baik.
“Sebagai seorang yang pemimpin dan tidak sepatutnya mencampuri urusan orang Islam. JAKIM mengambil inisiatif memperkasakan syariah Islam itu telah bertindak secara yang sepatutnya.
“Sebagai orang yang pernah memperjuangkan isu halal haram, saya menyambut baik usaha JAKIM dan saya lihat inisiatif ini dapat mengelakkan berlakunya isu makanan tidak halal dijamu kepada orang Islam,” ujarnya.
Steven yang pernah bekerja sebagai chef di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang pernah memperjuangkan isu tersebut berikutan berlaku ketidakjujuran majikannya dahulu. – HARAKAHDAILY 8/9/2024











