‘Isu ini bukan SG4 yang perlu jawab’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “YB kata SG4 pengeluar utama beras negara tapi mana pergi beras tempatan?”

Pertanyaan itu dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berhubung kekurangan beras tempatan di pasaran.

“Isu ini bukan SG4 yang perlu jawab. Kuasa kawal selia padi dan beras negara ada di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Ia bukan bidang kuasa Kerajaan Negeri SG4.

“Mereka di KPKM yang perlu jawab kenapa padi tempatan masuk kilang tapi yang keluar ialah beras super import,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, negeri-negeri dan State Goverment 4 (SG4) telah berkorban untuk mempertahankan keluasan tanah sawah padi daripada ditukar syarat kepada kegunaan lain demi menyumbang kepada kira-kira 70 peratus bekalan beras negara.

Belaiua berkata, tanah sawah padi ialah tanah bernilai rendah kalau dibandingkan dengan tanah industri, kediaman, rumah kedai dan lain-lain.

“Walau bernilai rendah tapi ia perlu dipertahankan,” tegasnya yang mengetuai Kluster Pertanian dan Keterjaminan Makanan SG4.

Jelasnya, dalam masa yang sama kerajaan negeri juga membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar bagi tujuan naik taraf sistem pengairan dan saliran serta meningkatkan kesuburan sawah padi.

“Ini sumbangan kita kepada negara tercinta. Walau sehebat mana pun bidang kuasa Kerajaan Pusat, kuasa hal ehwal tanah dan air berada di bawah negeri,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Menerusi kenyataan sebelum ini, beliau menyifatkan tanggungjawabnya mengetuai Kluster Pertanian dan Keterjaminan Makanan SG4 itu adalah suatu yang amat berat dengan mengambil kira majoriti rakyat SG4 menjadikan sektor pertanian sebagai sumber utama sosioekonomi rakyat.

Dalam masa yang sama, katanya lebih 70 peratus bekalan beras negara datangnya dari negeri-negeri SG4.

“Kami bekerja dengan objektif untuk saling melengkapi antara satu sama lain,” ujarnya sambil menyatakan sektor pertanian melibatkan pelbagai peringkat rantaian pengeluaran.

Menurutnya lagi, semua negeri SG4 ada kelebihan masing-masing dalam melengkapkan supply chain.

Sidang Kemuncak SG4 buat julung kali diadakan pada 2 Sptember lalu di Bangi yang dihadiri Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Panel Penasihat SG4, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta semua pimpinan negeri terdiri daripada Menteri Besar, Exco, pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

- Advertisement -