PAS sambut baik arahan tarik balik ‘DNS redirecting’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk menarik balik arahan DNS redirecting oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata PAS memahami niat asal arahan ini yang bertujuan menyekat akses kepada laman web yang mengandungi kandungan haram seperti pornografi, perjudian dalam talian, dan laman web yang menyebarkan perisian hasad.

Katanya, usaha untuk melindungi masyarakat daripada kandungan yang tidak bermoral adalah sesuatu yang disokong oleh PAS.

- Advertisement -

“Walaupun terdapat kebaikan dalam niat asal, PAS telah menyuarakan kebimbangan tentang risiko penyalahgunaan kuasa dan kesan negatif terhadap kebebasan bersuara.

“Penarikan balik arahan ini adalah langkah tepat untuk memastikan hak-hak rakyat Malaysia terus dilindungi dan tidak terjejas oleh tindakan yang mungkin digunakan untuk menyekat pandangan yang sah,” katanya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli Shaari berkata PAS menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan alternatif-alternatif yang lebih adil dan berkesan dalam menangani isu-isu seperti pornografi dan jenayah siber.

Kata beliau, antaranya meningkatkan kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya kandungan tidak bermoral.

“Menggunakan pendekatan penapisan kandungan yang lebih berfokus dan bersifat sukarela, yang memberi pengguna kuasa untuk memilih.

“Selain itu, perketatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah siber tanpa menjejaskan kebebasan internet secara keseluruhan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Beliau turut mengharapkan agar pihak kerajaan dapat mengenal pasti dan menyaring kandungan berbahaya secara lebih tepat dalam penggunaan teknologi moden seperti AI.

Katanya lagi, PAS komited untuk memastikan bahawa segala langkah yang diambil oleh kerajaan dalam mengawal selia internet adalah adil, telus, dan tidak menjejaskan kebebasan bersuara.

Tambah Ahmad Fadhli lagi, PAS akan terus memantau perkembangan ini dan menyokong usaha-usaha yang selaras dengan nilai-nilai Islam serta hak-hak asasi rakyat Malaysia.

“Tahniah kepada kerajaan atas pusingan ‘u-turn’ kali ini. Walaupun tindakan ‘u-turn’ ini boleh menjejaskan sedikit imej kerajaan, ia tetap berbaloi jika akhirnya rakyat yang mendapat manfaat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

- Advertisement -