Nelayan ucap terima kasih kepada kerajaan negeri

Antara nelayan pantai yang menerima bantuan daripada kerajaan negeri.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong komuniti nelayan pantai melalui penyediaan bantuan peralatan bernilai RM300,000 pada tahun ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi negeri, Hilmi Harun, bantuan itu bukan sahaja bertujuan meringankan kos pembelian peralatan, tetapi juga bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti menangkap ikan dan mengekalkan kualiti hasil tangkapan.

Katanya, antara peralatan yang diagihkan adalah fish finder, pukat tangsi dan kawat bubu yang disalurkan kepada 232 orang nelayan pantai di seluruh Terengganu termasuklah 16 penerima dari daerah Kuala Terengganu, 36 dari Kuala Nerus, dan 32 dari Marang.

- Advertisement -

“Bantuan ini diharapkan dapat meningkatkan pendaratan ikan dan menyumbang kepada bekalan ikan yang berterusan di negeri ini,” katanya.

Menurut Muhammad Ismail dari Kampung Jambu Bongkok, Marang, bantuan yang diterimanya sangat bermakna.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi bantuan pukat tangsi kepada saya.

“Ini kali pertama saya menerima bantuan dan saya bersyukur, semoga pendapatan saya meningkat dengan bantuan ini,” katanya yang sudah hampir 30 tahun bergiat sebagai nelayan.

Seorang nelayan veteran dari Pulau Ketam, Wahab Busu, 78, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan fish finder yang diterimanya.

“Dengan bantuan ini, dapat saya menangkap lebih banyak ikan.

“Nak beli sendiri memang susah sebab mahal, jadi saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya yang telah bergiat sebagai nelayan selama lebih 50 tahun. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

- Advertisement -