
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM50,000 kepada Jabatan Perikanan negeri bagi tujuan pembangunan unjam di perairan negeri ini, melibatkan daerah Kuala Terengganu dan Dungun.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri, Hilmi Harun berkata, hari ini sebanyak 40 unit unjam telah dilabuhkan di perairan Pantai Tanjung dengan kos keseluruhan mencecah RM24,000.
Katanya, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 100 orang nelayan.
“Nilai setiap unjam dianggar bernilai antara RM500 hingga RM600, hari ini 40 unjam diturunkan lebih kurang bernilai RM24,000.
“Walaupun bukan satu jumlah yang besar jika dilihat kepada nilaian duit bagi sebuah kerajaan tetapi ia satu garis aras untuk masyarakat, rakyat di negeri Terengganu melihat bagaimana kesungguhan pihak kerajaan negeri mengambil cakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program melabuh unjam dan penyerahan bantuan nelayan pantai bagi Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang 2024 di Pejabat Perikanan Pulau Kambing, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Hasniah dan Pengarah Perkhidmatan Vaterinar Negeri Terengganu, Dr Hanum Man.
Beliau juga menegaskan bahawa meskipun kerajaan negeri berdepan kekangan kewangan, usaha untuk membantu nelayan tetap diteruskan.
“Sejak peralihan kuasa pada tahun 2018, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu nelayan, termasuk pemberian bantuan seperti mesin tarik bot, kawat bubu, GPS, dan fish finder, dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan mencecah RM2.1 juta,” katanya.
Hilmi berkata, hari ini, seramai 36 orang nelayan pantai menerima bantuan peralatan meliputi fish finder, pukat tangsi dan kawat bubu.
Sementara itu, beliau berharap program pembangunan unjam akan memberi impak positif terhadap hasil tangkapan laut serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Semoga usaha bersama ini menjadikan Terengganu sebuah negeri yang maju, berkat, dan sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024











