Islam ada tata kelola sendiri, jangan suruh ikut bukan-Islam

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Sekiranya masyarakat dunia boleh mengadaptasi keperluan halal kepada Islam, mengapa di Malaysia yang sudah berpuluh tahun memahaminya tidak boleh menerima, demikian persoal Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Katanya, Islam mempunyai tatakelola ataupun ‘standard’ tersendiri yang perlu dipatuhi serta diikuti oleh penganut bersama Islam dan wajar dihormati oleh bukan-Islam sebagai menghormati Islam agama rasmi negara.

“Sekiranya manusia boleh menerima ‘standard’ yang disusun oleh manusia, kenapa tidak boleh menerima ‘standard’ yang ditetapkan oleh Allah SWT.

“Sedangkan Islam sudah cukup lengkap dalam semua bidang,” ujar beliau ketika ditemui pada Festival Insan Sejahtera, di Masjid Tunku Sallehuddin, Bandar Puteri Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Sanusi, negara luar seperti Amerika, Ireland dan lain-lain menyediakan tempat halal kepada pelancong Islam dan turut memaklumkan tempat-tempat yang menyajikan makanan tidak halal.

“Malah negara Malaysia di bawah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pun dah maklum, berbilion bisnes industri halal telah dilaksana,” tambahnya.

Sanusi berkata demikian mengulas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mempertikaikan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tidak menyajikan daging babi serta alkohol agar mendapatkan pensijilan halal.

Dakwa pemimpin DAP itu, cadangan tersebut berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu dan bertentangan semangat kepelbagaian budaya serta menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

“Islam ini lengkap dah. Hanya boleh ambil yang halal, yang haram tak boleh. Jadi saya menyambut baik tindakan JAKIM yang mengambil tanggungjawab untuk pastikan produk makanan yang dijual halal dan boleh dimakan oleh orang Islam.

“Sewajarnya di Malaysia yang mengamalkan Islam, ‘standard’ itu lebih dihormati kerana sudah difahami berpuluh-puluh tahun. Jangan suruh orang Islam ikut orang bukan Islam,” bidas Sanusi.

Dalam pada itu tegas ADUN Jeneri itu lagi, pihak berkuasa wajar melihat adakah kenyataan pemimpin DAP itu telah menyentuh kesalahan di bawah 3R.

“Kalau mula menyentuh hal ehwal berkaitan Islam, patutnya ‘tengok-tengoklah’ kut ada kesalahan di bawah 3R.

“Takkan bila kita kata kat (kepada) depa (mereka), pasal 3R kita kena, tang depa hentam kita, tak kena. Saling hormat menghormatilah,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

- Advertisement -