
KUANTAN: Rakyat Indera Mahkota diseru untuk memerdekakan jiwa dan bertindak ke arah menjadi insan yang selari dengan kehendak Allah SWT di atas muka bumi ini.
“Yakinlah bahawa mempertahankan kemerdekaan negara adalah kewajipan kita semua, ini adalah sebahagian daripada ibadah, ia adalah satu nikmat yang Allah kurniakan, maka hargailah, jagalah dan peliharalah kemerdekaan ini sebaiknya.
“Jiwa dan minda yang merdeka akan membawa kebaikan kepada seluruh umat dan negara yang bakal mewarnai kehidupan di masa hadapan untuk mengisi apa yang diperlukan sebagai seorang Muslim untuk bertemu dengan Allah SWT,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu ketika merasmikan Karnival Indera Mahkota Merdeka di Chenderawasih di sini semalam.
Beliau juga mengharapkan agar anak-anak cilik yang turut hadir dari TASTI dan PASTI dapat mewarisi jiwa dan semangat Merdeka dan dimerdekakan daripada segala halangan yang tidak sepatutnya.
“Merdeka yang ada di dalam hati dan nurani mereka yang bertanggungjawab pada hari ini terlalu kerdil, terlalu kecil dan masih belum merdeka dari sudut pemerintahan dan pentadbiran negara.
“Lantaran itu kita nak menzahirkan kepada rakyat seluruhnya khasnya di Parlimen Indera Mahkota, iaitu DUN Semambu dan DUN Beserah, kita PAS sentiasa berjiwa merdeka, walaupun kita disekat dengan pelbagai halangan dan cabaran.
“Walaupun kita dinafikan dengan pelbagai keadaan, namun kita sentiasa menzahirkan dan menyatakan kecintaan kita kepada negara, bangsa dan memelihara kemerdekaan.
“Seharusnya Parlimen Indera Mahkota, DUN Beserah mendapat peruntukan yang sewajarnya untuk menjayakan program-program sebegini, namun oleh kerana semangat kemerdekaan yang disekat oleh jiwa yang begitu kerdil menjadikan kita terpaksa bersusah payah untuk menganjurkan program sebegini,” ujar beliau.
Sementara itu, pengarah program Salbiah Seeni Abdul berkata, program itu diadakan di DUN Semambu bagi membuktikan PAS dalam Perikatan Nasional mempunyai kekuatan dan sokongan rakyat bagi merealisasikan PAS Teraju Pahang memenangi DUN Semambu pada PRU16 nanti.
Program anjuran Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS kawasan bersama jentera pilihan raya Dewan Muslimat PAS kawasan diisi dengan pelbagai acara seperti memanah, tarik tali, kayuh basikal lambat, dam ular, payung berhias, pertandingan mewarna dalam kalangan kanak-kanak serta perkhidmatan urut refleksologi.
Booth pameran produk PAS dibuka kepada masyarakat iaitu TASTI, PASTI, SRITI, Briged Muslimat, Skim PAS, keahlian PAS, sementara ARC pula menyertai acara perbarisan bersama dengan produk PAS yang lain iaitu Jabatan Amal, Ameerah, dan Sidang Assabiqun.
Perarakan daripada Kontinjen DHPP, GERAKAN, BERSATU serta penyokong dan pendukung PAS sekitar Parlimen Indera Mahkota sejauh 2.1 kilometer di Taman Chenderawasih menarik perhatian penduduk setempat. – HARAKAHDAILY 8/9/2024











