Teresa tidak hormati sensitiviti umat Islam

Hanafiah Mat
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat, menggesa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menarik balik kenyataan berkaitan cadangan sijil halal yang dianggapnya tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Beliau berkata, tindakan Naib Pengerusi DAP yang menyuarakan pendapat mengenai pensijilan halal di Malaysia boleh dianggap sebagai mencampuri urusan agama Islam, sekali gus diminta menarik segera kenyataan tersebut.

- Advertisement -

“Teresa jangan kurang ajar, tarik segera kenyataan dan mohon maaf kepada umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau, hari ini.

Teresa sebelum ini mengkritik cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan sijil halal, dengan alasan bahawa langkah tersebut berpotensi menambah beban kepada perniagaan dan bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya di Malaysia.

“Nampaknya DAP semakin biadap apabila menjadi sebahagian kerajaan. Tiada maaf bagimu yang mencampuri urusan agama Islam,” katanya.

Hanafiah menegaskan bahawa kenyataan Teresa telah menyinggung isu sensitif berkaitan agama dan menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya memohon pihak berkuasa mengambil tindakan kerana dia telah menyentuh isu 3R (agama, bangsa, dan raja),” katanya. – HARAKAHDAILY 7/9/2024

- Advertisement -