IKS: Kelantan bantu usahawan jayakan perniagaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM46,000 tahun ini untuk diagihkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyediakan peralatan dan modal niaga.

- Advertisement -

Dari jumlah itu, sebanyak RM30,000 disediakan untuk membeli peralatan  penyediaan perniagaan pada peniaga yang memohon sumbangan bagi menjayakan program Industri Kecil Sederhana (IKS).

Sebanyak RM16,000 lagi peruntukan disediakan sebagai modal permulaan atau tambahan bagi setiap perniagaan yang dijalankan.

Setiap ADUN akan memilih penerima yang benar-benar layak bagi menerima peruntukkan berkenaan untuk meningkatkan tahap ekonomi keluarga.

Namun bagi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Dr Izani Husin, modal sahaja belum mencukupi bagi menjayakan perniagaan, sebaliknya ilmu memainkan peranan penting untuk berjaya.

Katanya, pada masa yang sama bakal peniaga perlu mengikuti perkembangan teknologi semasa bagi merancakkan lagi perniagaan mereka.

“Hari ini, meskipun hanya berniaga di rumah, kita mampu memasarkan produk jualan ke seluruh negeri dengan pelbagai platform media sosial.

“Diharapkan kepada semua penerima bantuan Industri Kecil Sederhana (IKS) DUN Kijang dapat mengembangkan lagi hasil perniagaan masing-masing,” ujarnya pada catatan Facebook beliau di sini semalam.

Majlis penyampaian disempurnakan Pegawai Khasnya, Taufik Ramli mewakili beliau pada majlis yang diadakan di Pusat Pembangunan Wanita Kelantan DUN Kijang, Kedai Buloh.

Seramai 14 orang penerima menerima bantuAn kerajaan negeri berupa peralatan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Sehubungan itu, Izani yang juga ADUN Kijang mengucapkan tahniah kepada penerima yang layak. – HARAKAHDAILY 7/9/2024

- Advertisement -