Program Muhibbah berjaya eratkan hubungan kejiranan

Andansura Rabu menimang bola takraw dalam acara sepak raga bulatan.
- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat menjayakan Program Muhibbah hari ini.

- Advertisement -

Katanya, program anjuran masyarakat yang diadakan di pekarangan Surau Al-Faizin Taman Beserah Ria itu berlangsung dengan meriah.

“Antara acara menarik termasuk sepak raga bulatan, tarik tali, congkak, pertandingan memasak, karom, tendangan penalti dan pelbagai acara sukaneka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menurutnya, program sempena sambutan Bulan Kemerdekaan itu dianjurkan oleh pimpinan dan perwakilan penduduk dari Kampung Darat Sekolah, Taman Carnation Park, Perumahan Beserah Ria dan Perumahan Darat Sekolah.

“Hebat program anjuran mereka. Meriah. Ada yang mengenakan pakaian ala dulu-dulu,” katanya lagi.

Beliau menambah, acara-acara dan pengisiannya pula mendapat sambutan baik dan berjaya mengeratkan hubungan kejiranan dan kemasyarakatan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program yang sangat sesuai dengan nama dan tema.

“Ia sudah tentu membuatkan kita merasai dan mensyukuri nikmat kemerdekaan, keharmonian dan silaturahim yang Allah kurniakan kepada kita,” ujarnya lagi.

Beliau berharap semoga ia membawa rahmat dan kebaikan daripada Allah kepada semua. – HARAKAHDAILY 7/9/2024

- Advertisement -