
KOTA BHARU: PAS Kelantan menyokong penuh cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, kewajipan mendapatkan sijil halal bagi restoran dan syarikat yang menyediakan makanan dan bahan-bahan proses berkaitan masakan seharusnya menjadi keutamaan lebih-lebih lagi melibatkan perkara besar umat Islam.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya umat Islam menjadi lebih yakin dan dengan mudah menentukan pemilihan makanan halal dan tidak lagi teragak-agak sehingga menimbulkan pelbagai polemik dalam masyarakat.
“Cadangan yang dibuat JAKIM adalah sesuai dan tepat pada masanya, lebih-lebih lagi kita berhadapan dengan pengusaha-pengusaha restoran dan syarikat pengeluar bahan proses mentah yang semakin bermudah-mudah tentang status halal sesuatu makanan atau bahan masakan,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.
Justeru, tambahnya tidak timbul soal pensijilan halal akan menambah beban peniaga apalagi memalukan negara.
Beliau berkata, soal keyakinan pengguna terutama sensitiviti umat Islam melibatkan hukum-hakam bukanlah suatu yang remeh, apa lagi mahu bermudah-mudah.
Tegasnya, adalah sangat keterlaluan berhujah menyatakan sijil halal menyebabkan beban dan memalukan negara apabila ianya diguna pakai.
Lagi pula, ujarnya status halal telah dipertanggungjawabkan kepada jabatan yang menguruskan perihal umat Islam iaitu JAKIM dan dalam konteks negeri adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
Beliau menegaskan, campur tangan dan komen berbaur negatif pimpinan bukan Islam dalam urusan melibatkan urusan agama umat Islam adalah sangat tidak bertanggungjawab dan mendukacitakan.
Katanya, sekalipun soal ekonomi, namun status halal makanan di restoran dan pengeluar bahan makanan syarikat adalah masih di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam.
“PAS Kelantan amat kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh wakil rakyat DAP, MP Seputeh yang mengeluarkan kenyataan memasuki ruang kuasa jabatan agama Islam.
“Beliau seharusnya memahami sensitiviti yang berlaku dalam negara melibatkan beberapa urusan umat Islam yang tidak sepatutnya dicampuri,” tambahnya.
Semalam, Ahli Parlimen Seputeh, berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Kata Mohd Asri lagi, JAKIM hanya bertindak dalam ruang lingkup melibatkan kepentingan umat Islam sahaja.
“Jelas, kenyataan bahawa pensijilan status halal sebagai memalukan negara adalah tidak berasas dan sangat melukakan hati umat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/9/2024











