Sijil halal: Pemimpin DAP hina cadangan JAKIM

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) meluahkan rasa dukacita atas kenyataan seorang pemimpin DAP yang mengelirukan berkaitan sijil halal di Malaysia.

Ketuanya, Mohd Harun Esa berkata, kenyataan yang menghina cadangan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mewajibkan persijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan adalah satu tindakan yang biadap.

“Umat Islam dituntut agar mendapatkan sumber makanan yang halal, namun terdapat suara sumbang daripada pemimpin parti komponen kerajaan hari ini yang berusaha untuk menafikan tuntutan umat Islam bagi mendapatkan makanan yang halal di negara sendiri yang majoritinya Islam.

- Advertisement -

“Alasannya adalah persijilan halal akan membebankan pengusaha dan memalukan negara sedangkan kerajaan hari ini boleh memberikan subsidi bagi persijilan halal kepada pengusaha yang tidak berkemampuan serta mempromosikan kelebihan persijilan halal ke seluruh dunia.

“Jika hatinya benar tulus dengan umat Islam di Malaysia, mana mungkin hal berkaitan umat Islam ini diremehkan sebegitu rupa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Naib Pengerusi DAP itu berkata, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Justeru itu, kata Mohd Harun pihaknya menuntut agar pihak polis dapat mengambil tindakan segera terhadap pemimpin DAP itu kerana jelas telah menyentuh berkenaan isu 3R (agama, kaum, dan raja) yang sering dikaitkan dengan pembangkang. – HARAKAHDAILY 7/9/2024

- Advertisement -