Ada hikmah besar menanti atas pengorbanan menjaga ayah

Salamiah Mohd Nor Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor Mohd Nor berkata ada hikmah yang besar menanti di atas pengorbanan menjaga seorang ayah.

Justeru, ujarnya beban yang ditanggung untuk menjaga orang tua yang uzur bukanlah satu yang mudah untuk dipikul.

Menurutnya, beliau faham situasi menjaga orang tua yang sakit di rumah.

- Advertisement -

“Saya sendiri pernah diberi peluang sewaktu masih bertugas sebagai guru, saya menjaga ibu saya, bapa mertua dan ibu mertua yang sakit di rumah,” katanya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Tambahnya, walaupun tidak menjaga secara serentak, tetapi beliau bersyukur dapat menjaga kebajikan, makan minum, membantu orang tua membersihkan diri mereka.

Ini, ujarnya sehingga mereka menghembuskan nafas terakhir di rumah beliau.

“Alhamdulilah tanggungjawab sebagai seorang anak dapat dilaksanakan buat ibu dan ayah sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil,” ujarnya lagi.

Katanya, apabila pergi ke Taman Saga, Mentakab, beliau berpeluang menziarahi Sukri Hamid yang diuji dengan pelbagai jenis penyakit kronik.

Menurut beliau, antaranya penyakit yang dihadapi itu ialah saluran jantung tersumbat, pendarahan usus dan kaki kanannya telah dipotong akibat saluran darah yang tersumbat.

“Ujian orang yang sakit ini bukan pada dirinya sahaja, tetapi kepada orang yang menjaganya juga, dimana amat memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang tinggi.

“Saya sangat memahami perasaan Puan Nadia dan suami, Encik Moryadi, dalam menjaga ayahnya, dengan keadaan diri dan keluarga perlu diberi perhatian, terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ayah,” katanya lagi.

Tambahnya, dalam pada masa yang sama pasangan itu perlu membesarkan anak-anak yang masih bersekolah.

Katanya, telah menjadi rutin mereka untuk membawa ayahnya mendapatkan rawatan secara mingguan dan bulanan mengikut jadual dan tanpa culas.

“Alhamdulilah mereka mencari rezeki dengan berniaga di hadapan rumah secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan mereka sambil boleh menjaga ayah,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua warga Taman Saga agar bersama-sama membeli dan memberi sokongan kepada perniagaan keluarga itu.

“Saya percaya, Allah itu Maha Adil, berbakti kepada ibu bapa ini tidak akan pernah rugi, inilah jalan kita untuk mendapatkan syurga kelak.

“Semoga Puan Nadia dan keluarga terus sabar dan tabah, ada hikmah yang besar menanti keluarga ini di atas pengorbanan menjaga seorang ayah. Insya-Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/9/2024

- Advertisement -